Pages

Thursday, March 24, 2016

TAKBIR : BNM akan menghantar kertas cadangan tindakkan kepada badan penguatkuasaan.

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengambil ‘tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan yang sesuai’ terhadap 1MDB kerana gagal mengemukakan bukti berkenaan wang sejumlah ASD$1.83 bilion yang berada di luar negara.

Pada 9 Oktober tahun lalu, BNM mengarahkan 1MDB supaya menghantar balik ASD$1.83 bilion itu, selepas BNM menarik semula tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 untuk pelaburan luar negara.

Namun 1MDB dalam respon mereka menjawab penghantaran balik tidak boleh dilakukan kerana wang tersebut sudah diperuntukkan untuk menguruskan hutang luar negara dan penstrukturan semula.

“BNM menyatakan kesanggupan untuk menerima penjelasan itu tetapi mengarahkan mereka supaya menyerahkan bukti dokumen untuk menyokong sebab yang mereka berikan.

“Namun mereka masih tidak menghantar dokumen tersebut walaupun tarikh akhir sudah berlalu. Ekoran kegagalan mematuhi arahan BNM, kami kini dalam proses untuk mengambil tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan yang sesuai, seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang,” kata Gabenor Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam sidang media di BNM hari ini, seusai pembentangan laporan tahunan bank pusat itu.

Menjelaskan tindakan yang bakal diambil, Zeti berkata memandangkan BNM tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan, langkah itu akan melibatkan badan penguatkuasaan lain.

“BNM akan menghantar kertas cadangan tindakan kepada badan penguatkuasaan, dan mereka melihat cadangan kami dan membuat penilaian mereka. Ini semua tentulah perlu melalui proses (yang sepatutnya),” kata Zeti.

Sebelum ini pada 21 Ogos 2015, BNM pernah menghantar kertas siasatan berhubung 1MDB kepada Pejabat Peguam Negara namun dikembalikan kepada Bank Negara pada 11 September 2015 dan keputusan untuk tidak mendakwa dimaklumkan pada hari yang sama.

Dalam pada itu, Zeti memberikan komitmen untuk menyerahkan cadangan tindakan sebelum bersara April ini.

“Tujuan BNM melakukan semua ini adalah untuk menegakkan integriti sistem kewangan kita. Undang-undang dan peraturan yang ditetapkan perlu dipatuhi semua pihak,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.