Pages

Tuesday, March 22, 2016

Musa mengakui Tun M melakukan sesuatu yang bagus buat negara???

Musa mengakui Dr Mahathir mutakhir ini menyuarakan isu-isu yang relevan dengan orang ramai.

“Beliau bersuara tepat pada masanya. Beliau menjadi hero popular dalam sekelip mata kerana menjuarai isu popular yang menyentuh hati nurani begitu ramai orang.

“Daripada segi ini, beliau melakukan sesuatu yang bagus buat negara tetapi ia juga selari dengan personalitinya,” kata Musa di Kuala Lumpur sewaktu diminta mengulas kritikan demi kritikan yang dilancarkan bekas bosnya itu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Membuka rahsia lama, menurut Musa beliau percaya tindakan Dr Mahathir itu dilakukan mengambil pedoman dari kitab strategi klasik perang Cina, “Art of War” karya Sun Tzu.

Art of war

Art of War adalah manual taktik perang berusia lebih 2,000 tahun yang diamalkan bukan sahaja dalam peperangan tetapi juga dalam perniagaan dan pembangunan diri.

“Dr Mahathir ini bersaing untuk menang. Guru Dr Mahathir adalah Sun Tzu (menerusi buku) Art of War.

“Semua kami dalam Kabinet, dalam mesyuarat pertama kami itu antara buku pertama yang diberikannya.

“Setiap tindakan yang dilaksanakannya jika anda perhatikan adalah berdasarkan buku itu,” kata Musa dipercayai merujuk kepada strategi kelapan dalam buku itu – yang merujuk kepada kebolehan mengubah tindak balas kepada keadaan yang sentiasa berubah.

Musa menjadi timbalan perdana menteri kepada Dr Mahathir dari 1981 sehingga 1986.

Beliau meletak jawatan pada 1986 kerana “perbezaan yang tidak dapat diselaraskan” dengan Dr Mahathir.

Musa kemudian bersara daripada politik selepas tewas kepada Tun Ghafar Baba yang menjadi regu Dr Mahathir dalam “Team A” pada pemilihan Umno tahun 1987.

Musa pada masa itu menjadi regu Tengku Razaleigh Hamzah dalam “Team B” dan cuba mempertahankan jawatan timbalan presiden Umno selepas meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

Kritik kerajaan seumur hidup

Bercakap lanjut, Musa menghuraikan dengan lebih lanjut “personaliti” Dr Mahathir berdasarkan penilaiannya.

“Dr Mahathir adalah pengkritik seumur hidup mana-mana kerajaan – ia tidak terhad kepada kerajaan yang menurut acuan beliau sahaja.

“(Oleh kerana) saya rasa dia ada sense of humor yang baik, saya anggap Dr Mahathir ini ‘Mr Terminator’ politik.

“Dia tamatkan begitu banyak perdana menteri dalam negara kita dengan jayanya, seperti dalam filem Terminator,” katanya sambil ketawa kecil.

Menurut Musa lagi, tekanan yang sedang diberikan Dr Mahathir kepada Najib adalah percubaannya untuk “menamatkan” perdana menteri ketiga selepas Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Abdullah Badawi.

“Ini adalah perdana menteri ketiga yang disasarkannya dan saya rasa beliau akan berjaya walau apa cara sekali pun,” katanya.

Abdul Rahman terpaksa meletak jawatan sebagai presiden Umno pada Jun 1971.

Peletakan jawatannya pada masa itu dikatakan salah satunya berpunca daripada tekanan Dr Mahathir dan Musa sendiri yang dianggap “Kaum Muda” dalam Umno pada masa itu.

Abdullah pula memberi laluan kepada Najib pada Perhimpunan Agung Umno 2009 selepas hilang majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Pentadbiran Abdullah pada masa itu turut dikritik teruk Dr Mahathir yang sebelum itu melantiknya sebagai penggantinya pada tahun 2003.

Najib kekal sampai PRU14

Bercakap lanjut, Musa berkata beliau pernah berkongsi pandangannya dengan Najib tentang cara menangani Dr Mahathir yang kurang senang dengannya sejak mula menjadi perdana menteri pada 2009.

“Saya dah pesan pada Najib berulang kali yang dia akan bermasalah dengan Dr Mahathir kerana dia (Dr Mahathir) sudah kurang senang dengan banyak perkara.

“Satu-satunya cara buat Najib dalam mencegah perkara ini adalah melaksanakan perkara menurut caranya sendiri, tegas dan tekal, rasional dalam kerajaan.

“Malangnya beliau nampaknya tidak cenderung ke arah itu,” katanya.

Justeru, Musa meramalkan Najib akan hanya bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 apabila mengambil kira kritikan berterusan Dr Mahathir terhadapnya.

“Najib akan kekal sebagai presiden parti paling lama sehingga pilihan raya umum akan datang (kira-kira) 2 tahun lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.