Pages

Friday, February 26, 2016

Latihan Silang antara TLDM dan Pasukan Pertahanan Maritim Jepun.

KOTA KINABALU: Latihan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (MSDF) adalah medan terbaik untuk meningkat serta mengukuhkan lagi persefahaman pasukan kedua-dua negara, kata Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya.

Beliau berkata, melalui latihan berkenaan, kedua-dua pihak dapat saling berkongsi pengalaman dan kemahiran dalam melaksanakan operasi masing-masing.

"Ini adalah satu cara untuk kita menimba ilmu, sekali gus dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran terutamanya dalam cara pengendalian kapal kedua-dua pihak.

"Apa yang penting kita dapat meningkatkan serta mencapai persefahaman melalui latihan bersama yang akan dibuat selama empat hari sehingga Ahad ini," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam sempena latihan bersama itu, di Pangkalan TLDM Teluk Sepangar, dekat sini malam tadi.

Tiga kapal MSDF iaitu Akebono (DD-108), Yamayuki (DD129) dan Hatakaze (DDG-171) bersama 110 pelatih menyertai latihan bersama itu, sementara TLDM menghantar dua kapal iaitu KD Perak dan KD Lakasamana Muhammad Amin serta 120 anggota dan pegawai.

Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata pihaknya berharap latihan bersama itu dapat memberi pendedahan terbaik kepada kedua-dua pihak.

"Kita akan melakukan pelbagai latihan termasuk latihan penembakan dan untuk permulaannya, pada Jumaat kita akan adakan sukan muhibah," katanya. Sementara itu, Komander Escort Division 11th Jepun MSDF Kapten Kazuhiko Mizoe berkata kunjungan ke Malaysia memberi pendedahan dan latihan luar negara kepada 110 pelatih terlibat.

"Sebelum ke Malaysia, kita melakukan latihan sama di Kemboja dan berharap kunjungan ini mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara," katanya. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://malaysiatransformasi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.