Pages

Tuesday, December 8, 2015

Ucapan Timbalan Presiden UMNO!!! Sempena PAU 2015?

TEKS UCAPAN

YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO

DI MAJLIS BERSAMA TIMBALAN PRESIDEN UMNO
PADA 7 DISEMBER 2015;
PUKUL 8.30 MALAM
BERTEMPAT DI KELAB SULTAN SULAIMAN, KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad
Mantan Presiden UMNO dan
Perdana Menteri Malaysia

YB Datuk Seri Shafie Apdal
Naib Presiden UMNO

Saudara Adhif Syan Abdullah
Ketua UMNO Cawangan
Kampung Sungai Rasau

Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,

1.Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 81:


وَقُلۡ جَآءَ ٱلۡحَقُّ وَزَهَقَ ٱلۡبَـٰطِلُ‌ۚ إِنَّ ٱلۡبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقً۬ا

Yang bermaksud:

“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”


Rasulullah s.a.w. bersabda:

Qulil Haq Walau Kana Murran

Yang bermaksud:

“Berkatalah benar walaupun pahit”

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

Man Ra’a Minkum Munkaran Fal-Yughayyirhu Biyadih, Fa’in Lam Yastati’ Fa-Bilisanihi Fa’in Lam Yastati’ Fa Biqalbihi Wa Hiya Adh’aful Iman

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangan (kuasa), sekiranya tidak mampu maka dengan lidah, sekiranya tidak mampu maka dengan hati. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Gabungan Ketua-Ketua Pemuda Cawangan Se-Malaysia, Suara Belia Marhaen (SUABEMA) dan Gabungan Anak Melayu Bangkit (GAMB) yang telah menganjurkan majlis pada malam ini.

Terima kasih dan penghargaan saya ucapkan kepada YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, YB Datuk Seri Shafie Apdal, dif-dif kehormat dan saudara-saudari sekalian yang sudi hadir untuk bersama-sama kita pada malam ini.

3.Kelab Sultan Sulaiman ini adalah satu tempat yang amat bersejarah bagi UMNO. Di sinilah, 69 tahun yang lalu berlangsungnya perhimpunan besar-besaran umat Melayu yang datang dari seluruh pelusuk tanah air untuk membincangkan nasib orang Melayu yang terjajah sehingga mencetuskan penubuhan UMNO untuk menuntut kemerdekaan.

Mudah-mudahan dengan berhimpunnya kita di sini pada malam ini akan menyegarkan kembali nostalgia perjuangan UMNO untuk memerdekakan tanah air dan membangkitkan semangat kita untuk meneruskan perjuangan UMNO yang asal.

4.Saya telah menjadi ahli UMNO selama 45 tahun dan Timbalan Presiden UMNO selama 6 tahun. Pada setiap tahun selaku Timbalan Presiden saya dijemput untuk merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Tetapi pada kali ini entah mengapa Majlis Tertinggi membuat keputusan saya tidak dijemput untuk berucap merasmikan persidangan sayap-sayap. Setelah MT membuat keputusan itu, saya menerima banyak permintaan supaya saya menyampaikan sedikit amanat sebelum Perhimpunan Agung UMNO bermula. Mungkin kerana itulah majlis pada malam ini diadakan.

5.Walaupun peranan dan fungsi saya sebagai Timbalan Presiden agak tersekat pada waktu ini, mungkin kerana saya tidak lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri, namun taat dan setia saya kepada UMNO sebagai wadah perjuangan tetap unggul.

Semangat juang saya untuk memartabatkan anak bangsa tetap berkobar-kobar. Apatah lagi ramai yang tampil menyatakan sokongan dan memberikan semangat kepada saya untuk terus berjuang di landasan yang benar.

Mereka mahukan saya terus berkata benar dan jangan sekali-kali berundur. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjuangan saya untuk agama, bangsa dan negara kita.

6.Sebagai seorang Islam, adalah menjadi suatu kewajipan ke atas saya untuk menyatakan kebenaran dan menentang kemungkaran sepertimana yang disebut di dalam ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah s.a.w yang saya bacakan tadi.

Saya tidak akan biarkan segala kemungkaran atau salah laku yang nyata bermaharajalela tanpa ditentang, khususnya perkara-perkara yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Saya tahu bahawa berjuang di atas landasan kebenaran adalah sukar dan penuh ranjau. Namun, Allah s.w.t. berjanji bahawa akhirnya kebenaran akan muncul dan kebatilan akan hancur.

Sebagai seorang Islam kita wajib percaya bahawa tiada sebenar-benar janji melainkan janji Allah s.w.t. Maka, apabila kita yakin bahawa kita berada di landasan yang benar, istiqamah lah. Teruslah berjuang walau dihempas ribut dan badai!

7. Kita pastinya agak risau melihatkan perkara yang berlaku di negara kita pada masa ini. Seolahnya, ada satu sentimen bahawa negara kita tidak berada pada landasan yang betul. Rakyat kurang yakin dengan keupayaan kerajaan untuk mengurus negara dengan baik.

Dari segi ekonomi, walaupun negara kita masih mencatatkan pertumbuhan yang positif, rizab luar negara jatuh lebih RM40 bilion. Hutang luar negara bertambah dari RM196 bilion pada tahun 2003 kepada RM852.86 bilion pada suku ketiga 2015.

Pada bulan Jun tahun ini, hutang kerajaan mencecah RM627.5 bilion atau 54% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu kurang 1% sahaja daripada siling yang ditetapkan.

8.Dengan kejatuhan harga minyak dunia, pendapatan Petronas berkurangan dan sumbangan Petronas kepada kerajaan juga dijangka menurun daripada RM26 bilion pada tahun ini kepada sekitar RM16 hingga RM20 billion sahaja pada tahun hadapan. Nilai ringgit juga jatuh 20 peratus berbanding dollar Amerika, iaitu antara yang terburuk dalam sejarah negara. Akibatnya, harga barangan import meningkat dan ini menambah beban rakyat.

9.Rakyat pastinya amat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Di mana-mana sahaja orang bercakap mengenai kenaikan harga barangan keperluan harian, kenaikan kadar tol, kenaikan tambang pengangkutan awam seperti ERL, bas, teksi dan lain-lain lagi. Kos perniagaan juga meningkat menyebabkan ada syarikat yang memberhentikan pekerja atau tidak mengambil pekerja baharu.

Statistik menunjukkan, bilangan orang tidak bekerja pada tahun ini naik 22 peratus berbanding tahun 2014. Rakyat yang berada dalam kategori 40 peratus ke bawah juga semakin tertekan. Walaupun kerajaan memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), tetapi oleh kerana harga barangan dan perkhidmatan meningkat secara mendadak, bantuan yang diterima tidak dapat menampung sepenuhnya kenaikan kos sara hidup.  Semua ini semakin menghimpit kehidupan rakyat.

10.Selain itu, ada juga yang merasakan seolah-olahnya terdapat suasana ketakutan (climate of fear) di negara kita. Undang-undang keselamatan seperti SOSMA digunakan untuk menahan individu yang membuat laporan terhadap pemimpin negara. Mereka ini bukan pengganas, tetapi warganegara biasa. Satu rang undang-undang baharu mengenai keselamatan negara iaitu Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan juga telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Saya tidak mempersoalkan kewajaran menggunakan instrumen undang-udang untuk memelihara keselamatan negara, tetapi bimbang mengenai kecenderungan penyalahgunaan undang-undang untuk tujuan yang lain.

11.Di samping itu, terdapat masalah tadbirurus yang serius. Isu 1MDB misalnya telah menjadi satu skandal kewangan yang terburuk dalam sejarah negara kita. Ada orang kata, it is a scheme to scam. Bagaimana sebuah syarikat dengan modal hanya RM1 juta  berhutang sebanyak RM42 billion?

Kerana model perniagaannya yang salah, syarikat ini telah mengalami masalah aliran tunai yang teruk sehingga terpaksa meminjam daripada kerajaan untuk membayar hutang.

12.Lebih malang skandal 1MDB melibatkan Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Penasihat. Mungkinkah ada keputusan pelaburan 1MDB yang dibuat oleh Perdana Menteri sendiri tanpa merujuk kepada Lembaga Pengarah?

Saya diberitahu ada Ahli Lembaga Pengarah yang telah meletak jawatan kerana mereka tidak mahu terbabit dengan keputusan-keputusan pelaburan yang merugikan syarikat.

13.Misalnya, keputusan untuk melabur dalam usahama dengan Petrosaudi. Tidak ada due diligence dibuat. Hanya dalam tempoh kurang seminggu, pelaburan berjumlah 1 billion dollar dibuat pada tahun 2009 dan kemudiannya meningkat kepada 1.8 billion dollar pada tahun 2011. Usahasama ini gagal kerana kemudiannya didapati Petrosaudi tidak pernah memiliki telaga minyak di Turkmenistan.

14.Apabila usahasama ini gagal, nilai pelaburan 1MDB tidak dipulangkan, sebaliknya ditukar menjadi hutang. Soalnya, ke mana perginya wang berjumlah 1.8 billion dollar atau RM6.9 billion yang dilabur? Labur atau lebur? Akhbar The Edge mendakwa, wang ini telah dimasukkan ke dalam beberapa akaun di bank-bank di New York, Switzerland, London and Singapura. Jika usahama telah gagal dan wang ini ada di dalam akaun-akaun di luar negara, mengapakah ia tidak dipulangkan kepada 1MDB?

Apakah benar sepertimana yang didakwa oleh The Edge, usahasama itu hanyalah satu skim untuk menipu Malaysia? Kerana itu wang berbillion dollar tidak dipulangkan semula. Sekiranya dakwaan ini tidak benar, maka wajar 1MDB menyaman The Edge.

15.Yang kita mahu ialah isu IMDB dijelaskan dengan hasil siasatan yang dijalankan dengan telus dan tanpa campurtangan atas dua aspek, iaitu dari sudut tadbir urus korporat (corporate governance), dan kedua dari sudut bagaimana bebanan hutang dan tanggungan hendak diselesaikan.

16.Dari segi tadbir urus korporat, mesti ada penjelasan mendalam bagaimana IMDB membuat pelaburan yang besar dengan cara tadbir urus yang irregular dan disangsikan. Lebih-lebih lagi ia bermodalkan pinjaman, dan oleh sebab ia merugikan apalagi tidak mempunyai aliran wang tunai yang baik, maka hutangnya bertimbun berbilion ringgit.

17.Mereka yang membuat pertimbangan yang berisiko tinggi ini harus bertanggungjawab. Lebih-lebih lagi jika terdapat elemen penipuan atau kesalahan yang amat serius, maka mereka yang terlibat mesti menanggung akibat daripada kesilapan-kesilapan ini. Sebab itu tindakan siasatan yang sudah dimulakan mesti dielesaikan segera dan agensi yang terlibat termasuk Bank Negara, PDRM, SPRM dan Jabatan Peguam Negara mesti menjalankan siasatan tanpa gangguan atau campur tangan. Apa yang telah berlaku selama ini amat mencemar nama baik pimpinan Perdana Menteri dan menjejaskan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan.

18.Soal kedua ialah bagaimana bebanan hutang dan liabiliti IMDB hendak diselesaikan? Apa pun ia by hook or by crook mesti diselesaikan! Kita telah melihat bagaimana kesan IMDB telah menjejaskan iklim dan sentimen pelaburan dalam negara, malah kesannya terhadap kejatuhan nilai ringgit diakui oleh pakar-pakar ekonomi.

19.Yang pasti, mahu tidak mahu untuk menyelesaikannya SEGALA asset strategik IMDB yang sebahgiannya dikurnia oleh Kerajaan dengan harga yang amat istemewa termasuk tanah TRX dan Bandar Malaysia terpaksa dilelong kepada mana-mana pihak dari dalam atau luar negeri, tetapi hasilnya bukan menjadi khazanah rakyat, sebaliknya terpaksa digunakan untuk membayar hutang dan tanggungan IMDB! Dalam ertikata lain rakyat telah kerugian berbilion-billion ringgit disebabkan angkara IMDB! Maka sewajarnyalah mereka yang bertanggungjawab  dihadapkan ke muka pengadilan! Sebagai orang yang terlibat dengan kesemua urusan IMDB, bolehkah Perdana Menteri dan Presiden UMNO terlepas daripada memikul tanggungjawab di atas kesilapan besar ini?

20.Yang pasti juga, isu kedaulatan negara juga terpaksa dikorbankan untuk menyelamatkan sebuah perniagaan yang tidak diperlukan. Yang amat menyedihkan juga ialah IMDB terpaksa menjual aset IPP Edra Energy yang dibeli menerusi wang pinjaman kepada syarikat dari China dengan harga yang lebih rendah daripada harga ianya dibeli kerana IMDB memerlukan wang untnk membayar hutangnya!
  
21.Selain isu 1MDB, timbul pula dakwaan bahawa Perdana Menteri telah menerima wang berjumlah RM2.6 bilion daripada seorang penderma Arab. Wang ini yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri didakwa digunakan untuk membiayai kegiatan parti termasuk pilihanraya. Kita tahu bahawa UMNO mempunyai peraturan dan kaedah tertentu dalam mengurus sumbangan kepada parti.

Adakah semua peraturan ini dipatuhi? Lebih-lebih lagi Presiden parti adalah Perdana Menteri. Adakah penerimaan wang yang sebegitu besar jumlahnya tidak melanggar mana-mana peraturan dan undang-undang negara?

22.Saya sendiri tidak mengetahui dan tidak pernah bertanya mengenai dana rahsia Presiden. Tetapi apabila didedahkan oleh akhbar Wall Street Journal, rahsia sudah terdedah kepada awam, lebih-lebih lagi Presiden mengakui menerima wang yang dimasukkan dalam akaun peribadi. Soal yang berbangkit ialah dengan apa jua penjelasan yang telah dibuat termasuk oleh Presiden dan Timbalan Perdana Menteri mengenai perkara ini, ramai yang masih tidak percaya, malahan tidak yakin tentang penjelasan itu.

Ada yang mungkin berasa tidak munasabah bahawa ada pihak yang bersedia memberi derma sebesar itu. Jadi, ia menimbulkan soal persepsi yang amat serius. Dan lebih serius lagi apabila Presiden mengatakan wang tersebut adalah bukan dari sumber 1MDB dan ia adalah untuk parti. Bermakna bahawa Presiden telah membabitkan parti dalam soal derma yang beliau terima. Yang membimbangkan saya kalau ia menjadi satu kes di mahkamah maka UMNO akan diheret ke mahkamah. Dan dalam proses penyiasatan itu, urusan kewangan parti akan terdedah kepada khalayak umum, dan na’uzubillah kalau ia akhirnya dikaitkan dengan sumber-sumber dari 1MDB.

23.Saya bimbang kerana PKR telah pun memfailkan saman di mahkamah terhadap UMNO dan mendakwa UMNO dan BN telah melanggar peraturan pilihanraya dengan berbelanja melebihi had yang dibenarkan oleh undang-undang. Ini satu dakwaan yang serius. Saya tidak mahu parti menerima akibat buruk daripada keputusan mahkamah nanti. Jangan sekali-kali parti terheret ke dalam kemelut ini.

24.Sehingga kini, masih belum didedahkan siapakah dermawan itu? Akaun peribadi Perdana Menteri juga telah ditutup dan khabarnya masih ada baki wang yang disimpan di luar negara. Jika benar wang ini adalah untuk UMNO, maka saya minta supaya Presiden pulangkan wang ini kepada UMNO. Biarlah wang ini diurus mengikut perlembagaan dan peraturan UMNO.

25.Timbalan Perdana Menteri telah membuat penjelasan di Parlimen mengenai isu derma RM2.6 bilion tetapi tidak komprehensif. Kononnya ada isu subjudis yang menghalang penjelasan secara terperinci, walaupun kita tahu kes ini masih belum dibawa ke mahkamah. Pokoknya, masih banyak persoalan yang belum terjawab.

26.Rakyat mengharapkan penjelasan yang komprehensif dan menyeluruh. Jadi, dengan jawapan yang tidak jelas, sering kabur dan asyik berubah-ubah,  saya fikir yang timbul adalah lebih banyak soalan daripada jawapan. Rakyat makin meragui dan mempertikaikan kewibawaan kepimpinanan.

27.Rakyat juga berharap agar siasatan terhadap semua dakwaan salah laku berkaitan skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion dijalankan secara telus, bebas dan adil. Malah, Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu juga buat pertama sekali dalam sejarah mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan kemelut 1MDB.


28.Tetapi malangnya, apa yang berlaku semakin menghakis kepercayaan rakyat. Peguam Negara yang mengetuai pasukan petugas khas menyiasat 1MDB ditamatkan perkhidmatan. Pasukan ini kemudiannya dibubarkan. Pegawai-pegawai kanan SPRM yang menyiasat kes 1MDB dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

29.Kemudian, tidak pernah berlaku dalam sejarah, Gabenor Bank Negara bercanggah pendapat secara terang-terangan dengan Peguam Negara mengenai hasil siasatan ke atas 1MDB. Bank Negara sebagai sebuah institusi kawal selia kewangan tertinggi di negara kita tentunya mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang kewangan. Tetapi malangnya, kertas siasatan Bank Negara terhadap 1MDB telah ditolak oleh Peguam Negara berkali-kali.

30.Keadaan ini menimbulkan persepsi seolahnya ada campurtangan daripada pihak tertentu untuk mengganggu siasatan kerana kes ini membabitkan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan Menteri Kewangan. Persepsi begini adalah amat tidak baik untuk Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden UMNO.

31.Oleh itu, saya ingin cadangkan supaya Perdana Menteri berehat seketika. Biarlah siasatan berjalan dengan bebas, telus dan adil. Jangan timbul persepsi bahawa Perdana Menteri campurtangan dalam siasatan. Ambillah cuti sehingga kes selesai. Jika siasatan mendapati Perdana Menteri tidak terlibat, baliklah semula sambung tugas sebagai Perdana Menteri. Dengan itu, saya percaya nama Perdana Menteri dan juga imej UMNO dapat dibersihkan.

32.Saudara saudari, saya menyebut perkara ini bukan kerana ada niat jahat. It is without malice. Saya sebutkan kerana ini adalah soalan-soalan yang ditanya oleh rakyat. Kita cuba meyakinkan rakyat bahawa kerajaan yang diterajui oleh UMNO hari ini komited untuk melakukan transformasi. Kita adalah kerajaan yang telus, berintegriti, bertanggungjawab, mengamalkan prinsip tadbirurus yang baik. Tetapi sekiranya tindak tanduk kepimpinan kerajaan menimbulkan banyak persoalan yang tidak terjawab, maka keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang diterajui oleh UMNO akan terhakis. Sebagai Timbalan Presiden parti, saya tidak mahu krisis keyakinan terhadap UMNO berpanjangan sehingga kita kalah dalam pilihanraya. Jadi, kerajaan perlu berterus terang dalam menjawab pertanyaan rakyat, siasat semua tuduhan salah laku secara bebas, telus dan adil, dan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersalah, without fear or favor.

33.Ada orang kata saya tak perlu bercakap tentang perkara ini. Jangan sentuh kedudukan Perdana Menteri dan Presiden parti. Nanti saya akan diambil tindakan. Saya akan hilang jawatan. Saya akan dibuang daripada parti. Diam sahaja dan masalah itu akan selesai dengan sendirinya. Kalau saya bercakap nanti akan menambahkan lagi masalah kepada parti.

34.Tetapi apakah itu boleh menyelesaikan masalah? Tentu sekali tidak. Ramai yang berkata kepada saya, Tan Sri buatlah sesuatu untuk menyelamatkan parti dan negara. Ya, saya telah buat. Saya telah memberikan nasihat, pandangan dan teguran secara diam-diam. Beritahu kepada Presiden, kepada Majlis Tertinggi, kepada Kabinet. Saya telah gunakan semua saluran parti untuk menyampaikan nasihat dan teguran. Tetapi masalah tidak selesai juga.

35.Jadi saya fikir kalau Muhyiddin Yassin yang bercakap atau Tun Mahathir yang bercakap tidak menyelesaikan masalah, mungkin jika 3 juta ahli UMNO di setiap peringkat parti bercakap senada dan seirama, menuntut supaya kepimpinan parti membuat tindakan yang betul, masalah yang kita hadapi ini mungkin boleh kita atasi secara baik dan UMNO terus kukuh.

36.Kerana itu saya memilih untuk bercakap secara terbuka kepada ahli-ahli UMNO supaya kita bersama-sama lakukan sesuatu untuk kepentingan parti, rakyat dan negara. Kita tidak boleh lagi berdiam diri membiarkan UMNO dicemuh dengan pelbagai isu. UMNO perlu menjadi parti hebat, bukan parti yang dihina. UMNO perlu menjadi parti yang berkongsi kuasa, bukan mengemis kuasa. Jadi, kita tiada pilihan. Kita perlu membincangkan masalah yang kita hadapi secara terbuka dan cari jalan penyelesaian sebelum terlambat.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

37.Tiga hari dari sekarang para perwakilan UMNO ke Perhimpunan Agung UMNO akan bersidang. Perhimpunan tahun ini adalah amat penting dalam menentukan hala tuju UMNO selepas ini. Saya akan hadir walaupun saya belum pasti samada akan diberikan peluang untuk berucap ataupun tidak. Saya berharap kita gunakan peluang menghadiri perhimpunan agung untuk membincangkan isu-isu penting yang sedang dihadapi oleh parti. Jangan kita lari daripada membincangkan masalah parti..

38.Saya diberitahu mungkin isu 1MDB tidak akan disentuh. Mungkin juga isu derma RM2.6 billion tidak akan disebut. Saya harap khabar yang saya dengar ini tidak benar. Janganlah dibuat begitu. Berilah ruang secukupnya untuk pemimpin dan ahli akar umbi bersuara mengenai isu-isu penting yang berkait dengan parti kita. Kalau ruang untuk berbicara bagi mengungkapkan apa yang terbuku di fikiran dan kalbu mereka sudah tertutup, ini akan menimbulkan masalah yang lebih besar. Jangan fikir dengan menutup isu ini, iaitu dengan tidak membenarkan ahli dan pemimpin akar umbi untuk bercakap, memperkatakan dengan sebenar-benarnya pandangan mereka, ini boleh menyelamatkan pimpinan dan parti.

39.Lagipun, Perhimpunan Agung adalah badan tertinggi untuk ahli-ahli membincangkan hal ehwal parti. Kalau dalam Perhimpunan Agung pun mereka disekat daripada bersuara, di mana lagi tempat untuk mereka menyampaikan pandangan kepada pucuk pimpinan? Apakah sudah tiada demokrasi di dalam UMNO? Apakah sindrom bisu telah menguasai UMNO? Apakah demokrasi dalam UMNO hanya untuk menyokong pemimpin tertentu? Jika menegur pemimpin, maka itu dilihat sebagai melanggar perlembagaan? Sejak bila pula pemimpin UMNO kebal daripada kritikan?

40.Saya tidak fikir begitu. Setiap ahli ada hak untuk bersuara dan hak ini dijamin oleh Perlembagaan UMNO. Antara hak yang pertama sekali disenaraikan di bawah Fasal 6.2 Perlembagaan UMNO mengenai hak ahli ialah hak untuk “bercakap dan mengemukakan pendapat-pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat-mesyuarat parti”. Jadi, apakah hak pihak tertentu di dalam parti untuk menafikan hak seorang ahli daripada menyuarakan pandangan masing-masing.

41.Jika berlaku perbezaan atau percanggahan pendapat di dalam parti tidak mengapa. Seperti yang disebut oleh YABhg Tun Musa Hitam, membenarkan perbezaan pendapat adalah lambang sebuah parti yang demokratik. Tun Musa membuat kenyataan bahawa Tun Dr Mahathir tidak pernah menghalang beliau daripada berucap dalam Perhimpunan Agung. Walaupun beliau telah meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau masih merasmikan persidangan sayap-sayap UMNO dan berucap dalam sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 1987.

42.Nasib saya agak berbeza dengan Tun Musa. Saya masih Timbalan Presiden yang sah tetapi dihalang daripada menjalankan fungsi saya sebagai Timbalan Presiden. Saya tidak dibenarkan lagi mempengerusikan mesyuarat pengurusan parti. Tidak lagi mempengerusikan mesyuarat pengurusan Barisan Nasional. Malah, MT membuat keputusan saya tidak merasmikan persidangan sayap-sayap parti yang merupakan tradisi turun temurun di dalam UMNO.

43.Saya tidak bermaksud untuk bercakap bagi pihak diri saya. Tetapi saya bersuara bagi pihak institusi Timbalan Presiden parti yang mesti dihormati. Kalau kita boleh hormat kepada institusi Presiden, mengapa kita tidak boleh hormat kepada institusi Timbalan Presiden?

Bayangkanlah, jika insitusi nombor dua parti pun tidak boleh bersuara, apa lagi hak yang ada pada ahli-ahli di akar umbi. Saya bimbang lama kelamaan demokrasi akan terkubur di dalam UMNO.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

44.Kita ingin melihat ke hadapan. Kita mahu supaya UMNO terus kukuh dan mendapat sokongan majoriti rakyat untuk terus menerajui negara ini. Untuk itu, ahli-ahli UMNO mestilah menilai kedudukan parti kita dan melakukan perubahan. Kita perlu menilai setiap pandangan rakyat terhadap UMNO. Ini penting kerana merekalah yang akan menentukan kedudukan UMNO, samada UMNO menang atau kalah dalam pilihanraya akan datang.

45.Saya memanfaatkan media sosial untuk bertanyakan kepada rakan-rakan facebook saya apakah perkara-perkara penting yang perlu dilakukan oleh UMNO. Mereka ini adalah warganegara yang tentunya mewakili pandangan majoriti rakyat. Alhamdulillah, respon yang saya terima amat memberangsangkan. Rupa-rupanya, masih ramai rakyat di luar sana yang berminat untuk memberikan pandangan tentang UMNO. Sehingga semalam, saya menerima lebih 2,000 komen. Antara perkara-perkara penting yang disebut oleh mereka ialah:

46.Pertama, atasi budaya “Cash is King”. Saudara Firdaus Abdul Manaf berkata kepada saya, “Tan Sri, jika berpeluang untuk berucap, tolong ingatkan pemimpin-pemimpin UMNO. Jangan kerana kejarkan wang, pangkat dan kuasa, hilang akal fikiran yang waras dalam menentukan hala tuju parti dan bangsa”.

47.Pendapat beliau ini ada betulnya juga. Jangan kerana diberikan habuan, atau mengharapkan habuan, ramai yang diam. Tidak berani bersuara menyatakan yang hak. Takut nanti ditarik balik habuan. Apatah lagi jika kerana diberikan habuan, ada pula segelintir pihak yang lantang mempertahankan kebatilan, masyaAllah!

48.Saya bimbang budaya politik wang dan politik naungan telah berakar umbi dan menjadi barah di dalam UMNO. Ini menyebabkan budaya “yes sir” berleluasa dan UMNO semakin hilang semangat asal perjuangan parti. Ketaatan dan kesetiaan bukan lagi kepada parti dan perjuangan parti, tetapi kepada ketua yang boleh memberikan habuan. Walaupun ketua melakukan kesilapan, tidak ramai yang berani menegur kerana takut kehilangan pangkat dan kedudukan.

49.Ingatlah, rakyat tidak bodoh. The people are not stupid. Mereka cerdik. Mereka pandai, bijak. Mereka boleh menilai setiap perbuatan kita. Jika mereka merasakan bahawa kita menyembunyikan kebenaran atau berbuat sesuatu kerana habuan, bukan kerana prinsip untuk tegakkan kebenaran, mereka akan hilang percaya kepada kita, dan mereka takkan undi kita. Parti kita akan kalah. Jadi, ingatlah. Jangan kerana habuan yang sedikit, kita menggadai prinsip perjuangan. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 174:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡڪِتَـٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنً۬ا قَلِيلاً‌ۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِى بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُڪَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَڪِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ


Yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api Neraka dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat dan Dia tidak membersihkan mereka (dari dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

50.Kedua, mereka kata UMNO mestilah dilihat bersungguh-sungguh membantu rakyat mengatasi masalah kos sara hidup. Saya menerima banyak rintihan mengenai kenaikan kos sara hidup. Saudari Nurdiyana Mohd Rohaizad, seorang pelajar universiti, menyuarakan rintihan beliau mengenai kenaikan tambang pengangkutan awam. Saudara Abu Hanifah, mengeluh mengenai harga makanan yang semakin mahal. Kalau saya tanya setiap orang di dalam dewan ini pun, mesti ada keluhan masing-masing. Perbelanjaan sekolah anak, bayaran tol, bil elektrik, sewa rumah, tambang bas, ansuran kereta dan macam-macam lagi. Malah mungkin ada yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, berpendapatan rendah dan pelbagai lagi. Ke mana sahaja saya pergi, isu bebanan kos sara hidup inilah yang banyak diperkatakan oleh rakyat dan mereka marah kepada kerajaan. Jadi, bagaimana UMNO hendak menangani masalah ini?

51.Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) untuk meringankan beban kos sara hidup, ternyata ramai rakyat yang masih susah. Mereka terpaksa membayar harga yang lebih mahal untuk membeli barangan keperluan harian atau menggunakan perkhidmatan. Bantuan yang diterima daripada kerajaan akhirnya habis begitu sahaja. Malah tidak mencukupi untuk menampung kehidupan. Apa lagi jika mereka tidak menerima apa-apa bantuan daripada kerajaan. Sudah pasti bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat menghimpit kehidupan mereka.

52.Jadi, kerajaan yang diterajui oleh UMNO mesti bijak mengurus ekonomi. Laksanakan dasar-dasar yang betul. Mungkin wajar bagi kerajaan mengkaji semula pelaksanaan dasar rasionalisasi subsidi ketika rakyat sedang menghadapi zaman sukar. Dasar ini boleh diteruskan semula apabila keadaan ekonomi negara kembali pulih. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan juga mesti dikawal. Kuatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 dengan lebih tegas untuk memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan. Pastikan kenaikan harga tidak terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar oleh pengguna. Jika pengguna tidak mampu bayar, pastinya perniagaan akan merosot dan hasil kutipan cukai kerajaan juga merosot. Perkasakan peranan Suruhanjaya Persaingan Malaysia untuk memastikan wujud persaingan yang sihat dalam pasaran dan kepentingan pengguna dilindungi.

53.Ekonomi negara mesti diurus dengan baik. Laksanakan program-program untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Elakkan pembaziran dan ketirisan. Urus hasil mahsul dan khazanah negara dengan bijaksana. Ini penting kerana jika kita gagal mengurus ekonomi dengan baik, akhirnya negara menanggung kerugian dan rakyat akan terbeban.

54.Ketiga, ramai yang berkata, UMNO mesti berubah. UMNO mesti ubah persepsi buruk anak-anak muda terhadap parti, pemimpin UMNO mesti tepati janji, berani berkata benar, jangan bohong, berjuang biar ikhlas, pilih pemimpin yang jujur, jangan sokong membuta tuli, sentiasa bantu rakyat, jangan amalkan rasuah, jangan pecah amanah, jangan khianati perjuangan.

55.Yang penting, kita mesti ada prinsip dalam berjuang. Kita mesti berpihak kepada kebenaran. Memanglah sebagai sebuah parti politik mengekalkan kuasa itu penting. Kita berjuang dan melakukan apa jua cara untuk mengekalkan kuasa. Tetapi ingat. Kuasa juga boleh merosakkan kita. Apatah lagi jika kita terlalu lama berkuasa sehinggakan kita terdorong untuk salah guna kuasa, kerana merasakan bahawa diri kita kebal dan boleh terlepas daripada sebarang hukuman. Power corrupts and absolute power corrupts absolutely - kuasa merosakkan, dan kuasa mutlak merosakkan secara mutlak.

56.Mungkin satu langkah penting untuk UMNO mengatasi masalah kekebalan kuasa ialah dengan menghadkan tempoh memegang jawatan. Jawatan Presiden dihadkan kepada dua penggal sahaja supaya seorang pemimpin tidak terlalu lama memegang kuasa. Ini akan menjadikan institusi Presiden UMNO lebih bertanggungjawab kerana penyandang jawatan ini tahu kuasa yang ada pada beliau tidak kekal selama-lamanya.

57.Namun, jangan kita salahkan kuasa semata-mata. Lihat diri kita sendiri. Kalau kita tidak biarkan kuasa merosakkan kita, maka kita tidak akan rosak. Tuhan memberikan kita akal untuk membuat pilihan. Jadi, buatlah pilihan yang betul. Kalau kita tahu salah, jangan buat. Kalau kita buat juga, pasti kita akan rosak. Dan kalau kita dah terbuat silap, mengaku sajalah dan perbetulkan kesilapan kita. Kerana memperbetulkan kesilapan juga adalah satu perbuatan yang betul, dan insyaAllah kita akan selamat. Jangan kita tegakkan benang yang basah kalau kita dah tahu ianya salah. Jadi, always do the right thing and we will never go wrong.

58.Saya petik kata-kata rakan FB saya, Saudara Izhar Pawancheek. Beliau berkata, “UMNO perlu muhasabah diri dan berani membetulkan kesilapan. Jika UMNO jatuh (na’uzubillah) bukannya sebab orang lain, tetapi kerana UMNO tidak lagi menepati kehendak rakyat.”

59. Keempat, ramai yang mahu supaya UMNO kembali kepada semangat asal perjuangan parti, iaitu untuk membela agama, bangsa dan negara. Kita mesti ingat bahawa, orang Melayu hari ini sudah banyak berubah. Mereka semakin berpendidikan, peka dengan isu-isu semasa dan berfikiran lebih terbuka. Mereka mempunyai banyak pilihan dalam mengundi parti dan memilih pemimpin yang terbaik untuk mewakili mereka.

60.Kita tidak boleh berkata kepada mereka kamu tiada pilihan. Mesti undi UMNO. Kalau UMNO hancur, maka hancurlah Melayu. Ya, itu mungkin akibat yang akan berlaku jika UMNO hancur. Tetapi jika UMNO terpalit dengan pelbagai masalah, pelbagai isu, banyak kelemahan, orang Melayu tidak akan menyokong UMNO. Mereka hanya akan menyokong UMNO yang bersih, UMNO yang amanah, UMNO yang kuat bekerja untuk membela rakyat. Jangan kerana kita parti Melayu kita berharap orang Melayu akan mengundi kita hingga kiamat. Tidak! Kita juga mesti sentiasa memperbaiki parti supaya orang Melayu terus menyokong kita.

61.Kembalilah kepada semangat asal perjuangan UMNO iaitu untuk membela agama, bangsa dan negara. Jangan perkataan ini hanya disebut manis di bibir. Buktikan dengan perbuatan kita dan kesungguhan kita untuk membela orang Melayu. Jika kita leka, padah menanti UMNO dan bangsa Melayu. Saya agak tertarik tetapi pada masa yang sama risau juga dengan komen rakan FB saya Saudara Hairuzi. Beliau berkata, “Melayu boleh hidup tanpa UMNO, tetapi UMNO tidak boleh hidup tanpa Melayu”.

62.Kelima, ramai yang meminta suatu perkara yang agak sukar untuk saya sebut. Amat berat hati saya tetapi apakan daya. Jika saya tidak sebut, saya tidak amanah kepada rakyat. Saya lihat dalam facebook saya, komen kedua paling banyak selepas kos sara hidup ialah desakan supaya Datuk Seri Najib berundur. Ini dalam facebook saya. Mungkin tuan-tuan boleh semak samada di dalam facebook Datuk Seri Najib sendiri, di twitter dan juga dalam pertemuan-pertemuan dengan rakan-rakan dan kaum keluarga. Perkara ini banyak disebut oleh ramai orang. Saya nak tegaskan, bukan hak saya untuk meminta Presiden berundur. Apa lagi membuat desakan. Cuma ini adalah pandangan sebahagian besar daripada rakyat. Jadi, apa yang boleh saya katakan kepada Datuk Seri Najib, “it is your call, Sir. Ask your moral conscience. Do the right thing for the interest of the people and the country. Fa iza azamta fa tawakkal ‘ala llah. When you make your resolution, then leave it to Allah”.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

63.Sadly, we have lost the loving feeling, the government that cares, the government that is concerned with the livelihood of simple folks. What should UMNO do? UMNO cannot be oblivious to all these malaise.

64.Then there is grave issue of lack of integrity. Many mistakes had been done, blunders had been made and there is huge burden that the rakyat have to bear! It is very costly! Not just on the future generation, but also the current one. Why should the rakyat be made to suffer all the burdens simply because of sheer lack of integrity, greed and gluttony on the part of the leadership?

65.Even the Malay Rulers have spoken. I appeal to the Malay Rulers to play their appropriate role as Guardian of Islam, Malay and the People! The relevancy of the institution of the Sultanate depends heavily on the Malay Rulers’ role in solving the present crisis that befalls our nation.

66.As for UMNO, if it wants to regain the trust of the people, it must change! It must become a party that cares for the rakyat. It must get rid of money politics and deep rooted patronage. It must be led by able persons of high moral character. It must be prepared to be the party of the future, not the party of the past. It must have a national agenda that cares for the people regardless of race or religion.

67.If UMNO doesn't change, the Rakyat will change UMNO! These are painful facts. I would rather appeal UMNO to undergo this painful surgery now than face uncertain future in a state of coma and slow death later. The reform process is yet not seen. If we are serious about it, we have to undergo true reform sooner than later.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

68.Biarlah saya berterus terang di sini. Siapa yang menjadi barah dan nanah di dalam UMNO mesti ditolak! Demi menyelamatkan UMNO, Melayu dan Negara, barah dan nanah di dalam UMNO harus dibuang. Saya sudah menunaikan tanggungjawab saya! Saya mungkin berhadapan dengan kemungkinan disingkirkan daripada parti walaupun apa yang saya ungkapkan pada malam ini adalah atas rasa cinta saya kepada Parti Keramat ini.

69.Dalam perhimpunan nanti, saya mungkin akan menjadi bahan celaan, seolah-olah saya telah melakukan dosa yang besar. Saya percaya, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Saya lakukan semua ini atas dasar prinsip dan tuntutan agama. Kalau saya mahu selamat, mungkin saya perlu diam sahaja dan selamatlah saya. Mungkin saya masih Timbalan Perdana Menteri. Tetapi, jika saya berbuat begitu maka saya tidak berlaku adil kepada parti dan negara. Jika saya hanya memikirkan kedudukan dan kepentingan saya, mungkin saya telah menerima tawaran-tawaran lumayan Perdana Menteri dan berdiam diri.

70.Saya bersedia untuk berkorban. Bagi saya yang penting ialah prinsip perjuangan parti, bukan kepentingan diri. Nilai perjuangan parti adalah lebih tinggi daripada nilai kepentingan diri. Ianya sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Yang penting ialah kita tumpukan kepada penyelesaian masalah negara yang kritikal. 3 juta ahli parti dan 28 juta rakyat sedang bergantung harap kepada keutuhan dan kestabilan parti kita.

71.Saya ingin menyatakan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada YABhg Tun Dr Mahathir yang tidak pernah putus asa berjuang untuk menyatakan kebenaran demi kepentingan UMNO, orang Melayu dan negara. YABhg Tun, you earned my greatest respect, and you will never be alone, Sir.

72.Saya juga menghargai semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin akar umbi, ketua-ketua cawangan, ketua-ketua pemuda cawangan yang sudah mula berani bersuara. Teruskanlah bersuara. Jangan gentar dengan ugutan dan tekanan. Pemimpin sebenar bangkit di atas jiwa perjuangan, bukan jiwa kerdil yang tunduk pada ketakutan. Saya merayu kepada ahli-ahli parti supaya tidak berdiam diri. Beranilah nyatakan kebenaran, kerana kebenaran pasti akan menang akhirnya.

Kepada anak-anak muda, masa depan negara ini adalah milik anda. Peloporilah satu usaha yang bersepadu untuk membentuk satu konsensus bagi menentukan halatuju dan masa depan negara.

73.Kita tiada pilihan. Kita tidak boleh menoleh ke kiri atau ke kanan. Sudah tentu kita tidak boleh undur. Kita cuma ada satu pilihan jika kita benar-benar mahu melihat parti kita dan Negara kita terus maju, dihormati dan dijadikan teladan sebagai pentadbir yang jujur, ikhlas dan berwibawa.

Saya ingin baca di sini beberapa bait sajak anak Johor, sasterawan Negara tanpa bandingan, Datuk Usman Awang atau Tongkat Warant:

Apakah ini derita diri dalam mimpi
Atau kenyataan pahit menyepit
Pada lena yang membunuh kehidupan manusia.

Sama-sama kita rangkul menguji diri

Kawan-kawan ku yang dikasihi
Di belakang duri di depan api
Kita tidak bisa undur lagi
Duri dan api, tajam panasnya kita hadapi

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah
Di mana air mata tidak akan menitik tumpah.

Sebab kebulatan ikrar tak akan merubah
Apa saja kita tidak akan menyerah

Ingatlah kata pujangga Usman Awang juga:

Anak Melayu, namamu telah diseru,
Jawablah, sebelum lidahmu jadi bisu.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

Engkau kurniakanlah kepada pemimpin kami hidayah dan panduan,

Engkau kurniakanlah kepada negara kami nikmat kesejahteraan dan keselamatan,
Engkau kurniakanlah kepada kami nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

Engkau berikanlah kekuatan kepada kami untuk berjuang menegakkan agama Mu yang suci,

Engkau tiupkanlah semangat di jiwa kami untuk menghadapi dugaan dan ranjau berduri,

Engkau tetapkanlah hati kami untuk meneruskan perjuangan parti kami yang murni.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

Sesungguhnya kami adalah hamba-hamba Mu yang pasrah,
Hanya kepada Mu kami berharap dan berserah.


Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.