Rakyat Malaysia dengan kehilangan pesawat MH370, kita dikejutkan pula dengan tragedi MH17 yang ditembak jatuh 17 Julai lalu di ruang udara timur Ukraine semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Dalam nahas itu, seramai 283 penumpang dan 15 anak kapal terkorban termasuk 43 daripadanya adalah rakyat Malaysia.
Mengungkap kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, nahas itu adalah "a tragic day, in what has already been a tragic year, for Malaysia." Negara dan rakyat Malaysia berkabung dalam keredaan menempuh dugaan Yang Maha Esa. Dunia bersatu dalam kesedihan, tanpa mengira kewarganegaraan.
Dalam menggerakkan setiap peringkat jentera kerajaan berhadapan dengan pengurusan nahas itu, PDRM dilantik menganggotai Operasi Pengecaman Mangsa Nahas (DVI) dan pasukan pertama PDRM membabitkan 19 pegawai dan anggota berlepas ke Ukraine pada 18 Julai iaitu dalam tempoh 24 jam selepas nahas berlaku.
Pasukan ini diketuai Komander DVI, Asisten Komisioner Hussein Omar Khan dan adalah sebahagian daripada 114 petugas yang digerakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Operasi Nahas MH17.
Agensi lain yang terbabit adalah Pegawai Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Ahli Kimia Jabatan Kimia Malaysia (JKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kor Agama Angkatan Tentcra (KAGAT), SMART, Pasukan Siasatan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan kakitangan MAS.
Pada 30 Julai pula, pasukan kedua yang juga pasukan ‘search and recovery' terdiri daripada 68 pegawai dan anggota PDRM diketuai Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri berlepas ke Ukraine untuk mencari dan mengumpul bahan bukti bagi membantu siasatan. Malaysia dipuji kcrana berjaya mencapai persetujuan bagi mendapatkan laluan selamat ke lokasi nahas yang dikuasai kumpulan pemisah, mencapai perjanjian bagi menyerahkan mayat dan berjaya membawa pulang kotak hitam pesawat MH17 bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan.
Pembabitan secara peribadi Perdana Menteri dalam rundingan itu mengangkal standard diplomasi di seluruh dunia. Manakala tahap profesionalisme PDRM, apabila KPN sendiri bersedia memasuki zon bahaya untuk membantu operasi di Ukraine, berjaya memartabatkan PDRM di mata dunia.
Melalui rencana ini, saya berasa bangga untuk berkongsi dengan pembaca operasi PDRM di Ukraine yang saya kira berjaya membuktikan keupayaan PDRM dalam mengendalikan tragedi MH17.
Fasal 1
Pasukan DVI Malaysia ditempatkan di Hotel President, Kiev, Ukraine dan Komander DVI, ACP Hussein menghadiri dua jenis mesyuarat iaitu dengan Pihak Berkuasa Ukraine yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menterinya (selaku Pengerusi Pengurusan Bencana MH17 Ukraine) dan dengan pasukan Specialist DVI International (yang di ketuai Belanda).
Selepas beberapa siri mesyuarat yang berjalan selama tiga hari berturut-turut. keputusan dicapai seperti berikut: Pasukan DVI Belanda akan mengetuai operasi DVI termasuk siasatan jenayah ke atas nahas MH17 bersama pasukan DVI Australia dan Malaysia.
Pasukan DVI Interpol UK, Jerman dan Indonesia dijemput menghantar wakil. Semua mayat akan dibawa ke Kem Tentera Hilversum di Belanda bagi proses autopsi dan pengecaman lanjut.
Dalam pada itu, sekumpulan kecil petugas Malaysia bergerak dari Kiev ke Donetsk untuk berunding dengan ketua tentera pemisah supaya gerabak kereta api yang berisi mayat mangsa dibawa balik ke Kharkiv. Ini adalah satu misi yang sangat berbahaya dan berisiko tinggi diambil petugas Malaysia.
Pada ketika ini, pasukan DVI PDRM terpaksa bcrpecah dua:
Satu pasukan yang diketuai ACP Hussein bersama 11 pegawai forensik dan 24 pegawai SMART bergerak dari Kiev ke Kharkiv untuk menerima mayat dan melakukan pemprosesan sebelum dihantar ke Hilversum, Belanda. Manakala tujuh pegawai forensik bersama 17 pegawai perubatan KKM dan beberapa pegawai MKN/JAKIM berangkat ke Hilversum.
Fasa 2
Pada petang 22 Julai, kereta api yang membawa gerabak mengandungi mayat mangsa sampai di satu formasi tentera yang dinamakan 'transit facilities' (TS). Gerabak itu digerakkan dari Torez ke Kharkiv. Hanya 20 pegawai/anggota DVI Malaysia dibenarkan terbabit dalam proses pengurusan mayat di TS ini.
Pada hari pertama ini, pasukan DVI bekerja bersama pasukan Belanda, Australia, Jerman dan Interpol. Proses yang terbabit di TS adalah mengambil gambar, membungkus, melabel, merekod dan imbasan untuk mengesan jika terdapat elemen CBRN (kimia, biologi. radiasi dan nuklear) atau bahan letupan dan akhir sekali dimasukkan ke dalam keranda khas dan disimpan di dalam kontena peti sejuk.
Dalam tempoh empat hari itu, semua 227 peti keranda berkenaan diterbangkan dari Kharkiv ke Eindhoven dengan pesawat tentera Australia dan Belanda melalui dua penerbangan setiap hari. Memandangkan prestasi kerja terbaik dan disiplin yang tinggi, pihak DVI Belanda dan Australia meminta bilangan petugas DVI Malaysia ditambah. Pada hari kedua dan seterusnya, semua 36 petugas Malaysia (12 forensik dan 24 SMART) dibenarkan bekerja aktif di TS.
Fasa 3
Pada 31 Julai, pasukan kedua PDRM misi 'search and recovey' tiba dengan keanggotaan seramai 68 orang diketuai KPN. Selama dua hari, KPN bersama Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am) Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim dan ACP Hussein menghadiri beberapa mesyuarat peringkat tertinggi di Kiev bagi tujuan persefahaman dan koordinasi operasi.
Pada 2 Ogos, KPN, Fuad dan ACP Hussein bersama 41 petugas bergerak dari Kiev ke Kharkiv menaiki kereta api ekspres yang memakan masa selama lima jam. Hasil beberapa siri mesyuarat operasi, pasukan DVI Malaysia dibenarkan memasuki ke kawasan kemalangan bersama pasukan Belanda dan Australia.
Pada 3 Ogos, seramai 21 petugas yang diketuai KPN telah bergerak ke Soledar dengan kawalan ketat. Perjalanan sejauh 200 kilometer ini mengambil masa lebih kurang empat jam dan terpaksa melalui beberapa sekatan jalan yang dikendalikan tentera Ukraine dan tentera pemisah.
Seterusnya, seramai 14 petugas DVI yang diketuai KPN telah memasuki kawasan nahas bagi memulakan siasatan pencarian mayat. Ini adalah pertama kali pasukan Malaysia terbabit dalam pencarian mayat di kawasan itu dan turut menempa sejarah kerana diketuai sendiri oleh KPN.
Operasi pencarian hanya berjalan satu jam sahaja kerana ancaman dan desakan oleh pihak tentera pemisah untuk pasukan ini keluar secepat mungkin. Pasukan ini juga diancam dengan bunyi tembakan kereta kebal di sekeliling mereka.
Fasa 4
Pencarian di kawasan nahas berjalan selama dua hari seterusnya dan terpaksa dihentikan ekoran ancaman keselamatan. Pada 6 Ogos, pasukan Belanda dan Australia membuat keputusan memberhentikan operasi pencarian dan keluar dari kawasan FOB Soledar dan Kharkiv secepat mungkin.
Proses kepulangan pasukan PDRM bermula pada 8 Ogos secara berperingkat- peringkat. Pada 10 Ogos, 21 pegawai dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), enam anggota VAT 69 dari Kiev yang diketuai Deputi Superintendan (DSP) Law Pang Tai selamat tiba di KLIA. Pada petang 10 Ogos, seramai 11 pegawai dan anggota DVI PDRM yang diketuai DSP Mohd Hakim yang berada di Kharkiv selamat tiba di KLIA. Pada 11 Ogos, enam petugas yang terdiri daripada empat anggota Unit Forensik dan dua dari 69 Komando diketuai Superintendan Soo Me Tong selamat tiba di KLIA. Kumpulan terakhir terdiri daripada 34 pegawai dan anggota di ketuai KPN selamat tiba di KLIA pada 12 Ogos.
Perkembangan mutakhir
Hasil rundingan berterusan antara Perdana Menteri dengan Presiden Petro Poroshenko, Parlimen Ukraine kemudiannva memutuskan untuk membenarkan petugas Malaysia meneruskan kerja siasatan di lokasi kemalangan MH17. Perjanjian itu membolehkan sehingga 90 petugas bukan tentera dari Malaysia menyertai pasukan diketuai Belanda dalam mempermudah tugas mencari mayat mangsa dan menjalankan siasatan seperti yang diperuntukkan dalam Resolusi 2166 Majlis Keselamatan Pcrtubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dengan penuh bangga, saya ingin menyatakan PDRM bersedia untuk kembali ke Ukraine bagi memenuhi tanggungjawab kepada negara dan waris mangsa MH 17 dengan meeneruskan misi mencari dan menyiasat di lokasi kemalangan.
Penulis Timbalan Ketua Polis Negara.
Sumber: Akhbar Harian Metro