Pages

Thursday, July 3, 2014

Penasihat & Punaisihat?

Dalam kata orang politik, penasihat biasa disebut “think tank” atau kumpulan pemikir dan mereka inilah, sebenarnya yang memberikan nasihat kepada ahli politik termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Umum mengetahui Datuk Seri Najib mempunyai kumpulan pemikir atau “think tank” beliau sendiri yang memberikan pandangan dan nasihat untuk semua perkara daripada politik sehinggalah apa yang hendak ditulis dalam media sosialnya seperti Facebook atau Twitter.


Malah, ia juga suatu rahsia terbuka terdapat kumpulan dalaman atau “inner circle” perdana menteri yang mempunyai pengaruh kuat terhadap segala keputusan diambil termasuk dalam pelantikan menteri Kabinet atau pengerusi dan Lembaga Pengarah GLC.

Sama ada mereka yang di dalam kumpulan penasihat ini, benar-benar memberikan nasihat yang tepat kepada Datuk Seri Najib dalam menjalankan tugas sebagai perdana menteri atau presiden Umno ia sama sekali tidak penting memandangkan mereka ini, tidak memikul tanggungjawab berkenaan sebaliknya ia dipikul Datuk Seri Najib sendiri.

Untuk menjadi seorang pemimpin yang bijak dan disegani, seseorang itu perlu mempunyai kebijaksanaannya sendiri dan sikap terlalu bergantung kepada nasihat para penasihat ini, sebenarnya akan membawa padah.

Ini kerana sudah pasti para penasihat ini, mempunyai agenda tersendiri dan tidak bercakap perkara yang benar seperti yang dititahkan Sultan Nazrin, disebabkan mereka ini, terdiri di kalangan orang politik atau ahli perniagaan.

Sejak Datuk Seri Najib memegang teraju pemerintahan kerajaan sebagai perdana menteri Malaysia keenam pada April 2009, pelbagai inisiatif dilakukan beliau hasil nasihat daripada para penasihatnya.

Bermula dengan Gagasan 1Malaysia, program-program transformasi seperti GTP, ETP dan PTP, Datuk Seri Najib memasuki gelanggang Pilihanraya Umum (PRU) 13 pada Mei 2013 dengan penuh keyakinan untuk mendapat majoriti dua per tiga.

Bayangan mendapatkan keputusan yang amat cemerlang itu, adalah hasil daripada pandangan, tinjauan serta nasihat daripada penasihat-penasihat di Putrajaya.

Malah, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Barisan Nasional (BN) atau Umno, kempen untuk mendekati rakyat terpaksa dilakukan dengan cara “menjual” imej perdana menteri iaitu Datuk Seri Najib sendiri.

Ia sekaligus membenarkan andaian bahawa BN dan Umno begitu lemah untuk diterima rakyat dan strategi penasihat-penasihat Putrajaya adalah untuk “menjual” imej Datuk Seri Najib dengan mengambil kira sejarah yang berlaku pada Tun Abdullah Ahmad Badawi mendapat keputusan cemerlang dalam PRU2004.

Hasilnya, begitu mengecewakan, BN masih tidak mampu pulih dan walaupun, keputusan Umno bertambah baik berbanding PR2008, tetapi tiada apa yang hendak dibanggakan kerana Selangor masih gagal dirampas daripada pembangkang walaupun, pengerusi BN dan Umno negeri berkenaan adalah Datuk Seri Najib sendiri.

Sebenarnya ketika itu, di peringkat akar umbi termasuk kalangan agensi dan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab berdamping terus dengan rakyat berasa amat tidak yakin BN akan mencapai keputusan majoriti dua per tiga dalam PRU13 seperti yang dilaungkan penasihat-penasihat di Putrajaya dan walaupun pelbagai laporan dihantar ke Putrajaya, ia tetap gagal menyakinkan Datuk Seri Najib mengenai keputusan yang sebenarnya bakal diperoleh parti dalam PRU13 berbanding nasihat penasihat-penasihat ini.

Apa yang berlaku pada masa kini, seakan “déjà vu” kerana nasihat penasihat-penasihat ini, terus didengar dan mereka terus memberikan gambaran “bulan dan bintang” kepada pemimpin nombor satu kerajaan.

Golongan inilah, yang dikata sebagai “inner circle” Datuk Seri Najib serta berpengaruh dalam setiap keputusan diambil beliau, akan menjadi “punahsihat” kepada perdana menteri kerana gagal berkata benar walaupun pahit untuk lidah mengungkapkannya.

Terlalu banyak kepentingan dan konflik dalam setiap keputusan yang dibuat perdana menteri sehingga Datuk Seri Najib sendiri seakan keliru sama ada perkara yang disampaikan itu benar-benar berlaku atau khayalan semata-mata.

Ada juga pemerhati politik yang beranggapan bahawa kebergantungan kepada nasihat “inner circle” ini adalah faktor kejatuhan Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri kerana mereka ini, sudah tidak relevan dalam arus perubahan pemikiran rakyat pada masa kini.

Ini kerana ada antara mereka berusia lebih daripada 60-an, dan bagaimana mahu memberikan nasihat kepada perdana menteri mengenai apa sebenarnya dimahukan rakyat berusia 40 tahun ke bawah yang akan membentuk kumpulan pengundi paling besar dalam PRU14 kelak.

Selain itu, ada juga di kalangan “punahsihat” ini yang mempunyai kepentingan peribadi dan mahu menjaga “perut”masing-masing sekaligus terus memberikan laporan serta nasihat yang langsung tidak tepat.

Sebenarnya, tidak salah untuk Datuk Seri Najib mendengar nasihat daripada orang-orang yang rapat di sekelilingnya tetapi beliau perlu mempunyai kebijaksanaan dalam menentukan sama ada nasihat itu benar-benar boleh dipakai atau tidak.

Jangan sekali-kali mengabaikan laporan atau nasihat daripada jabatan dan agensi kerajaan yang menjadi barisan depan untuk berdamping dengan rakyat, kerana mereka inilah yang mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di peringkat akar umbi bukannya penasihat yang mendiami “istana-istana” di Putrajaya.

Pada masa sama, jangan sekali-kali mengabaikan, memandang ringan atau meletak ke tepi pandangan Ketua Umno bahagian yang ketika ini, sebenarnya memikul peranan begitu besar dalam memimpin jentera BN berikutan ketidakhadiran dan kegagalan jentera parti komponen BN lain yang secara terangan ditolak rakyat.

Sikap memandang sepi pandangan atau rungutan Ketua Umno bahagian akan menjadi padah kepada pimpinan tertinggi parti kerana ia boleh menyebabkan golongan ini, “bersemangat” menyelamatkan diri masing-masing berbanding semangat memastikan punca kuasa Datuk Seri Najib untuk terus menjadi perdana menteri iaitu menjamin kemenangan parti dalam PRU.

Seharusnya, Datuk Seri Najib merenung titah Sultan Nazrin dalam mesyuarat Dewan Negara Perak, apabila baginda bertitah: “Jauhkan beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong beta untuk berkhayalan, lena dengan mimpi indah, sedangkan realiti yang berlaku dalam kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan.’

Dan kepada penasihat-penasihat di Putrajaya, berilah nasihat yang benar, jujur dan tepat kerana masanya sudah semakin suntuk untuk BN dan Umno terus berkuasa selepas PRU14, apabila dilihat kepada rungutan serta sungutan rakyat di peringkat akar umbi.

Jika terus dibuat mimpi indah pada masa kini, tidak mustahil ia akan menjadi mimpi ngeri dalam PRU14 nanti dan ketika itu nasihat yang diterima perdana menteri bukan datang daripada mereka yang bergelar penasihat tetapi lebih layak dipanggil “punahsihat”.

Malah, pada zaman pemerintahan Tun Abdullah, “punahsihat-punahsihat” inilah yang memberikan gambaran bahawa “budak-budak” tingkat 4 Putrajaya akan menyebabkan negara ini, punah.

Jika dahulu Datuk Seri Najib dianggap boleh diharap untuk menggantikan Pak Lah sekaligus menyelamatkan parti , sekarang siapa pula yang akan menggantikan beliau dan siapa pula “punahsihat” akan datang yang bakal menjadi tempat Perdana Menteri bergantung bagi mendapatkan nasihat “bulan dan bintang”. – 3 Julai, 2014.

- Nur Jazlan
Dipetik dari The Malaysian Insider

Elis Nor dah kena pecat, tinggal Omar Ong, Idris Jala dan beberapa nama lagi dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO)

Sumber - Sir Azri Malay Right

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.