Pages

Monday, July 7, 2014

Palanivel minta MIC Johor tingkat keanggotaan menjelang PRU-14

JOHOR BAHRU: MIC Johor diminta untuk meningkatkan jumlah keanggotaan parti di 541 cawangannya dalam tempoh dua tahun, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berkata ini bagi memastikan sokongan yang kuat oleh masyarakat India di negeri itu terhadap Barisan Nasional.

"MIC Johor perlu meningkatkan keanggotaan parti khasnya dalam kalangan wanita dan pemuda di 541 cawangan di Johor," katanya ketika merasmikan Konvensyen Badan Perhubungan MIC Johor malam tadi.

Beliau mahu MIC Johor di bawah pimpinan pengerusinya Datuk S. Balakrisnan dan pemimpin di setiap bahagian agar turun ke akar umbi untuk memberikan penerangan mengenai dasar kerajaan persekutuan dan juga negeri.

Palanivel turut meminta agar MIC Johor berusaha meningkatkan penyertaan masyarakat India di dalam perkhidmatan awam di negeri tersebut.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam sidang media selepas konvensyen itu berkata enam resolusi dibentangkan pada konvensyen tersebut termasuk pelantikan wakil MIC sebagai anggota Dewan Negara dan anggota lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Negeri Johor katanya diperuntukkan dua kerusi dalam Dewan Negara yang diwakili Umno dan MCA manakala MIC belum lagi diberi peluang.

"MIC Johor meminta Menteri Besar supaya memberi peluang secara giliran kepada wakil MIC untuk kerusi Anggota Dewan Negara," katanya yang menambah parti itu juga meminta agar wakil kaum India dilantik sebagai anggota lembaga pengarah anak syarikat negeri Johor.

Beliau berkata MIC Johor yang menyokong penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor baru-baru ini meminta masyarakat India diberikan lebih banyak kuota untuk membeli rumah kos rendah serta kedai dan rumah kos sederhana.

Selain itu, MIC Johor meminta agar kontraktor dalam kalangan masyarakat itu diberi peluang untuk melaksanakan projek kerajaan.

Resolusi yang dibentangkan turut memberikan sokongan yang padu kepada presiden parti dan juga Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Besar Johor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.