Pages

Friday, June 13, 2014

Pemandu tidak sedar treler dilanggar

JEMPOL - Pemandu treler muatan kayu balak yang dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh mangsa maut di Jalan Bahau-Keratong, kelmarin hanya menyedari kenderaannya dilanggar selepas memandu sejauh 35 kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Hamzah Alias berkata, pemandu lori berusia 40-an itu berhenti di tepi jalan di Kilometer 8, Jalan Serting Tengah-Bandar Seri Jempol.

Menurutnya, lelaki terbabit memandu treler tersebut secara sendirian, dan tidak menyedari kenderaannya dilanggar berikutan membawa muatan balak dan berat.

“Bagaimanapun, semasa memandu, dia merasa bagaikan ada yang tidak kena dengan kenderaannya, lalu memberhentikan lorinya di tepi jalan.

“Hasil pemeriksaan, dia mendapati lorinya sedikit rosak dan ketika itu baru sedar bahawa kenderaannya dilanggar dari arah belakang,” katanya ketika mengulas lanjut kejadian kelmarin.

Hamzah berkata, rentetan itu, lelaki itu membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Seri Jempol pada hari yang sama kira-kira jam 11 pagi.

“Kita tidak menahan lelaki terbabit dan hanya mengambil keterangannya bagi melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan adik perempuan Ahli Parlimen Mersing, Johor Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, dan suaminya maut dalam kemalangan di Jalan Bahau-Keratong, berhampiran Stesen Timbang Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) Palong, di Jempol di sini, awal pagi kelmarin.

Mangsa, Shamsiah Ahmad, 45, dan suaminya, Ismail Atan, 52, disahkan maut di lokasi akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Lori satu tan yang dipandu suaminya yang dalam perjalanan dari Mersing, Johor, ke Bangi, Selangor, berlanggar dengan sebuah lagi kenderaan berat yang berada hadapannya.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.