Pages

Friday, June 20, 2014

MB Johor dan Sultan Johor. Luaskan Kuasamu JOHOR.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hubungannya yang baik dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menjadi asas kepadanya untuk memberi nasihat tanpa rasa gentar atau pilih kasih.

Sebaliknya, Khaled menegaskan, sebagai ketua pegawai eksekutif negeri, beliau "tidak di bawah kawalan" Sultan.

"Kalau hubungan tidak baik, MB hendak bertemu dengan Sultan pun akan menjadi masalah.Tuanku Sultan menghormati saya sebagai menteri besar dan saya memberi kesetiaan kepada baginda. Tuanku adalah seorang yang sangat mengambil berat akan hal ehwal kerajaan negeri dan juga negeri Johor tetapi baginda tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran negeri sejak saya menjadi menteri besar.

"Tugas saya bukanlah untuk mengawal selia aktiviti Sultan tetapi untuk memberi nasihat kepada baginda," ujarnya dalam pertemuan eksklusif dengan mStar dan The Star di sini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab cakap-cakap yang mengatakan yang beliau tidak berupaya untuk 'mengawal' dan menasihati Sultan selaku menteri besar berhubung kontroversi Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 baru-baru ini.

Enakmen tersebut telah diluluskan dengan beberapa pindaan pada 8 Jun lalu (Lihat Nota Kaki Di bawah berita ini sebagai rujukan).

Sebelum itu ia telah mencetuskan kontroversi apabila media-media massa utama negara mengenegahkan kebimbangan orang-ramai berhubung enakmen tersebut berhubung klausa yang memberi kuasa tertentu kepada Sultan untuk membuat pelantikan dan memeriksa kewangan lembaga yang hendak dibentuk di bawah enakmen tersebut.

Khaled berkata, tidak dinafikan yang Sultan berasa kecewa dengan persepsi negatif yang dilemparkan kepada baginda berhubung isu yang melibatkan enakmen tersebut.

Ini kerana apa yang terkandung di dalam deraf asal pindaan ke atas enakmen tersebut adalah selari dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

"Ia adalah sama sepertimana semasa kita hendak menubuhkan Johor Corporation (JCorp) dahulu. Sedikit pun tidak berubah. Jadi kalau di dalam pindaan ke atas enakmen ini kita tidak memasukan apa yang sepatutnya kita masukkan iaitu peranan tertentu Sultan sebagai pemerintah negeri, maka Tuanku akan menganggap yang kita mahu mengikis kuasa-kuasa tertentu yang ada pada baginda.

"Sama juga sepertimana ketika saya mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dahulu, kita hendak menubuhkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, pelantikan anggota lembaga, pengerusi, ketua eksekutif semuanya mestilah dilakukan atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di negeri, Sultan yang memainkan peranan tersebut.

"Tapi oleh kerana enakmen baru jarang-jarang dilakukan di peringkat negeri, orang sangka, kita hendak masukkan elemen baru yang memberi kuasa tertentu kepada Sultan sedangkan ia adalah sama sepertimana sebelum ini dan sama juga di peringkat persekutuan yang memberi kuasa-kuasa tertentu kepada Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.

Jelas Khaled, tidak ada apa yang perlu dikhuatirkan kerana Sultan tahu dan memahami peranannya selaku pemerintah negeri, oleh yang demikian tidak timbul soal campur tangan baginda dalam hal ehwal pentadbiran negeri.

Beliau turut menafikan cakap-cakap yang mengatakan Sultan Ibrahim enggan menandatangani enakmen yang baru diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Johor itu sebaliknya kata beliau, Sultan akan menandatanganinya selepas beberapa program penjelasan berhubung isu enakmen itu selesai dalam tempoh dua bulan ini.

Malah kata Khaled anggota Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Johor itu akan dilantik sebelum suku pertama tahun hadapan.

"Saya tidak faham dari mana datangnya cakap-cakap ini...semuanya tidak benar," tegasnya.
Khaled juga berkata yang beliau sedar akan cakap-cakap yang mengatakan kononnya beliau tidak berupaya untuk “menasihati” Sultan.

"Di hujung tempoh saya berkhidmat sebagai menteri besar nanti, hanya sejarah yang akan menentukan apakah menteri besar yang dikatakan tidak dapat menasihati Tuanku ini boleh membawa manfaat kepada rakyat," ujarnya dalam nada sinis.

Tambah Khaled lagi, sebagai ahli politik, tidak ada apa yang harus beliau khuatiri selagi beliau tidak melakukan sesuatu yang membawa kemudaratan kepada rakyat negeri Johor.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.