Pages

Thursday, May 29, 2014

Perang Dingin Pasak Asia.

Perang Dingin Pasak Asia
Hishamuddin Rais | 7:32PM Mei 28 2014
SHANGHAI, May 18 (Xinhua) -- Directors of both Chinese and Russian naval forces taking part in the joint drill said Sunday that the exercise was aimed at improving their capacity in coping with maritime security threat. - dipetik dari XINHUA

The study found that the UK has just 5.2 years of oil, 4.5 years of coal and three years of gas before it completely runs out of fossil fuels, said the researchers at the Institute based at Anglia Ruskin University, in the East of England... dipetik dari RUSSIA TODAY

Minggu lalu lebih dari 20 orang telah terbunuh di Vietnam. Kematian ini adalah akibat rusuhan anti-China yang telah merebak di Vietnam. Kilang-kilang milik China telah dibakar dan buruh China pekerja kilang telah diserang.

Sentimen anti-China ini berpunca apabila China membawa tentera laut ke Pulau Spartly di Laut China Selatan untuk memulakan cari gali minyak. Telah berlaku pergeseran antara kapal tentera laut China dengan kapal tentera laut Vietnam.

Perebutan kepulauan Spartly ini sedang menjadikan wilayah Spartly titik panas di Asia Tenggara. Bukan sahaja Vietnam mahu memiliki wilayah ini – Filipina dan Malaysia juga secara resmi telah membuat tuntutan yang sama. Wilayah di sekitar kepulauan ini dikatakan kaya dengan bahan bakar petroleum dan gas.

Untuk memahami apa yang sedang berlaku di belakang rumah kita, kita wajib membaca dan melihat apa yang berlaku di Afghanistan, di Libya, di Iran, di Iraq dan di Syria. Perang yang pecah di wilayah ini adalah sebahagian dari Strategi Induk (Grand Strategy) kuasa imperialis Amerika untuk mengepung dan menawan telaga-telaga minyak di negara-negara itu.

Strategi Induk ini telah dilakar oleh Zbigniew Brzezinski penasihat Keselamatan Amerika 1977-1981. Orang Jahat ini telah menulis beberapa buah buku untuk menyediakan asas idealogi dan strategi militer demi mempertahan sistem imperial hegemony Anglo-Amerika.

Jelas, di Timur Tengah dan di Laut China Selatan, bahan bakar minyak petroleum dan gas adalah punca perebutan ini. Sayugia diberi ingatan bahawa bahan bakar petroleum ini adalah latar belakang dan punca Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Wajib sekali lagi saya memberi tahu para pembaca bahawa tamadun kita hari ini adalah tamadun bahan bakar minyak petroleum. Tanpa bahan bakar ini tamadun kita yang wujud hari ini akan musnah.

Hari ini kuasa imperial Anglo-Amerika sedang mencatur dan melakar kembali peta dunia. Ini dilakukan setelah dua dekad berakhirnya Perang Dingin. Untuk pembaca muda, Perang Dingin mungkin tidak memiliki apa-apa makna. Untuk pemahaman kita, Perang Dingin adalah pertempuran dua ideologi – Kapitalis Amerika dan Sosialis Soviet Union. Latar belakang Perang Dingin ini ialah gerakan nasionalisme menuntut kemerdekaan rakyat Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Ekonomi perang

China dan Soviet Union bawah pimpinan parti Komunis telah membantu gerakan-gerakan nasionalis-pembebasan untuk menentang kuasa hegemoni Anglo-Amerika. Justeru China dan Soviet Union dilihat sebagai musuh oleh kaum kapitalis sedunia. Kaum kapitalis sedunia telah berpayung dan dibantu oleh kuasa Anglo-Amerika. Kaum kapitalis antarabangsa berakidah untuk menakluk dan memungah harta kekayaan dari negara-negara Afrika, Asia dan Amerika Latin kini terpaksa menerima hakikat bahawa menjajah dan menjarah akan mendapat tentangan bersenjata dari rakyat Dunia Ketiga. Senjata datang dari Soviet Union dan China.

Zaman sesudah Perang Dunia Kedua ini dipanggil era Perang Dingin. Zaman ini berakhir dengan runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989. Soviet Union pecah dan menjadi Kesatuan Rusia. Manakala China dan juga Rusia mula menerima beberapa bentuk dan ciri sistem ekonomi kapitalis. Tetapi dua negara kuasa nuklear ini terus menolak kuasa hegemoni Anglo-Amerika. Kaum pemodal tidak dapat sesuka hati 'berniaga dan menjarah' di negara ini. Hakikatnya Rusia dan China gagal ditundukkan oleh Amerika.

Apabila tamat Perang Dingin seharusnya dirayakan oleh warga dunia sebagai zaman aman dan sentosa. Tapi dalam hukum kitab kapitalis keamanan dan kemakmuran adalah mustahil. Selagi sistem ekonomi kapitalis wujud maka perang dan bahaya perang akan terus mengancam penduduk dunia. Ini hakikat kerana sistem ekonomi kapitalis bergantung kuat dengan perang untuk mengaut keuntungan maksima. Tanpa perang modal kaum kapitalis akan pupus.

Cuba para pembaca renungkan, sesudah Amerika kalah dalam Perang Vietnam pada tahun 1975, kalah di Afghanistan, kalah di Iraq, sedang kalah di Syria. Mengikut logik akal, kuasa imperialis Anglo-Amerika akan berhenti berperang. Puluhan ribu anak muda soldadu Amerika telah gugur tewas. Berjuta rakyat dunia mati akibat perang. Dan berjuta-juta lagi menjadi orang pelarian perang. Apakah kuasa imperial Anglo-Amerika akan berhenti? Jawabya tidak.

Ekonomi kapitalis Anglo-Amerika adalah ekonomi perang. Selain dari menjual filem Hollywood, dan menjual kertas hijau yang dipanggil dolar, Amerika adalah pnejual senjata terbesar dalam dunia. Tiga benda ini menjadi pasak utama ekonomi Amerika.

Hari ini tuan empunya industri senjata telah berjaya menakluk Rumah Putih. Amaran tentang bahaya meresapnya kuasa industri senjata untuk menguasai politik Amerika ini telah dinyatakan secara terbuka dalam ucapan selamat tinggal Amerika oleh Presiden Dwight D Eisenhower (mentadbir antara 1953-1961).

Ucapan ini telah memberikan amaran cukup jelas. Presiden Eisenhower, bekas jeneral lima bintang – panglima Perang Dunia Kedua – meramalkan jika rakyat Amerika tidak berhati-hati, satu ketika nanti kuasa Industri Senjata akan menguasai semua politik Amerika. Ramalan sang jeneral ini telah sahih berlaku.

Wilayah berpotensi 'meledak'

Hari ini budak Barack Hussein Obama yang mengakui dirinya sebagai presiden Amerika sebenarnya dimasukkan ke Rumah Putih oleh industri senjata. Politik Amerika berkait rapat dengan politik wang. Demokrasi Amerika ialah demokrasi wang. Untuk mencalonkan diri sebagai presiden, seorang itu memerlukan ratusan juta ringgit untuk berkempen. Dana berkempen diperlukan untuk membeli iklan, untuk melobi sokongan media dan untuk memasang jaringan sokongan ke seluruh negara. Jentera berkempen juga perlu mendapat dolar.

Kempen Obama kali kedua, dari awal tahun 2011 hingga Jun 2012, telah membelanjakan 400 juta dolar. Ini laporan rasmi dari SPR Amerika. Yang tidak rasminya kita tidak tahu. Dari mana budak ini mencekau duit sebanyak ini? Jawabnya dari pelobi industri senjata, dari pelobi syarikat gergasi antarabangsa, dari tuan empunya bank dan syarikat dana kewangan. Justeru Barack Hussein Obama menjadi budak suruhan kaum pemodal. Ini hakikat.

Tuan empunya industri senjata telah melabur jutaan ringgit dalam kempen Obama, justeru apabila Obama berjaya menjadi presiden mereka mahu kontrak persenjataan. Mereka mahu Rumah Putih meluluskan bajet pertahanan kepada Jabatan Pertahanan Amerika, kepada Pantagon, kepada CIA dan, dan, dan. Perkara ini berlaku berulang-ulang. Justeru kerana sistem inilah menjadikan Amerika Syarikat tidak pernah berhenti berperang.

Pada ketika ini kita melihat bagaimana Amerika sedang memasang jarum mencucuk Rusia di Ukraine. Kita sedang melihat bagaimana Syria menjadi mangsa Amerika dalam strateginya mengepong Iran dan Rusia. Kita juga sedang melihat krisis di Laut China Selatan minggu lalu adalah permulaan.

Jepun, Korea Selatan dan Filipina adalah tanah 'jajahan takluk' Amerika. Jepun sesudah Perang Dunia Kedua tidak dibenarkan memiliki bala tentera. Manakala Korea Selatan dan Filipina adalah budak suruhan Amerika yang paling setia di Asia.

Amerika telah merancang pada tahun 2025, tiga perempat dari jumlah bala tentera Amerika Syarikat akan berpangkalan di Asia. Tentera laut, darat dan udara Amerika akan berpindah ke Asia. Bala tentera Amerika dalam NATO akan dikurangkan. Eropah Timur tidak dilihat sebagai ancaman. Mengalih senjata ke Asia ini dinamakan Pasak Asia (Pivot Asia).

Strategi Pasak Asia ini akan mentakrif China sebagai musuh. Pasak Asia ini juga melihat Rusia yang juga di Asia sebagai sekutu yang akan membantu China. Apa yang berlaku minggu lalu ialah rintik-rintik permulaan Pasak Asia. Ketegangan perlu dicetuskan di Asia Tenggara. Ketegangan ini diperlukan untuk dijadikan sebab musabab agar kuasa imperial Anglo-Amerika akan dijemput datang kembali.

Selain dari Kepulauan Spratly ada beberapa lagi wilayah yang berpotensi untuk ' meledak' dan menjemput Amerika masuk. Di Filipina, Tentera Baru Rakyat bawah Parti Komunis Filipina sedang berkembang luas. Jika kuasa Manila terancam maka tentera Amerika akan menjulur masuk.

Strategi yang sama juga akan dilakukan di empat wilayah Selatan Siam. Perjuangan Pembebasan Rakyat Patani sedang berkembang. Keadaan ini juga berpotensi untuk meledak. Jika Gerakan Patani Merdeka ini mengancam Siam dan Bangkok maka suasana ini akan menjemput kuasa imperialis Anglo-Amerika.

Manila, Seoul dan Bangkok akan siap sedia untuk menjadi budak suruhan Amerika. Ejen CIA dan jaringan CIA yang menyamar sebagai pejuang Islam akan menggelodakkan wilayah ini apabila ia diperlukan. War on terror, dasar pertahanan Amerika yang telah berjalan semenjak 9/11 akan menjadi landasan Pasak Asia. Persoalannya dalam Pasak Asia ini di mana peranan Malaysia?

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.