Pages

Wednesday, February 5, 2014

Peguam Muslim Menulis: Perlembagaan tolak pluralisme agama

Keistimewaan Islam tak sekat kebebasan penganut lain

Hari ini masyarakat kembali berhujah berkaitan dengan isu pluralisme agama. Pluralisme agama mengatakan semua agama adalah sama dan masing-masing berhak memilih jalannya sendiri.
 
Dalam konteks perundangan Malaysia pula ramai dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam berpandangan semua agama sama dan tidak ada satu agama boleh diberikan kelebihan berbanding agama lain dari sudut undang-undang.

Golongan ini berhujah adalah tidak adil sekiranya orang bukan Islam membuat kebaikan di dunia, tetapi masih lagi diseksa dengan api neraka. Tambahan pula dakwa mereka ia bertentangan dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Menyayangi.

Pendekatan seperti ini sebenarnya jauh tersasar dari agama Islam dan jika kita melihat dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sekalipun ia tidak langsung mempunyai asas dan disokong oleh undang-undang tertinggi negara itu.

Seseorang itu dimasukkan ke syurga bukanlah semata-mata dengan amalan mereka, tetapi dengan rahmat daripada Allah SWT.

Konsep tauhid dalam Islam

Konsep tauhid dalam Islam adalah paksi utama kepada akidah Islam dan ia berlawanan daripada konsep pluralisme agama. Pendukung pluralisme agama berpendapat setiap nabi membawa risalah yang berbeza dan umat terdahulu tidak beragama Islam.

Namun, sebenarnya umat terdahulu adalah terdiri daripada ‘millah Ibrahim’ yang membawa syariat Allah untuk umat ketika itu. Tiada apa yang kita pertikaikan terhadap orang yang menganut ‘millah Ibrahim’ sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW kerana Baginda memuktamadkan agama Allah dan menyebabkan ajaran terdahulu tidak lagi disyariatkan.

Pandangan pluralisme agama ketika ini bukan hanya dianuti orang yang tidak berkelulusan agama, tetapi juga dalam kalangan mereka yang mempunyai kelulusan agama tinggi.

Aliran pemikiran sosialis, pluralisme dan sebagainya ini menular di negara kita dan perlu dikekang bagi mengekalkan jati diri negara.

Jamal al-Banna, saudara kandung kepada Hasan al Banna umpamanya menegaskan orang bukan Islam seperti Thomas Edison sewajarnya memasuki syurga kerana sumbangannya yang besar kepada umat manusia dengan menciptakan lampu elektrik.

Beliau beranggapan apapun agama dianuti seseorang itu tidak penting, sebaliknya yang paling penting ialah dia berbuat baik sekali gus melayakkan dirinya masuk syurga.

Beliau juga membuat kesimpulan orang Islam tidak perlu berusaha untuk berdakwah kepada orang bukan Islam supaya masuk Islam.

Bagi penulis, walaupun seseorang itu memasuki syurga dengan rahmat daripada Allah, untuk mengetepikan faktor Islam sebagai prasyarat memasuki syurga amat keterlaluan. Apalah gunanya Allah menurunkan al-Quran jika orang bukan Islam yang tidak mempercayai kitab agung pun diberi keistimewaan?

Dari sudut perundangan pula, Perlembagaan Persekutuan langsung tidak mengiktiraf pluralisme agama. Ini amat jelas kerana hanya Islam saja disebut di dalam Perlembagaan.

Perlembagaan Persekutuan hanya merujuk agama lain boleh dianuti dan diamalkan dalam keadaan aman dan damai. Jaminan itu bukanlah bermakna agama lain disamatarafkan di dalam undang-undang.

Terdapat pelbagai faktor yang diambil kira dalam memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti faktor sejarah, sosial dan juga keselamatan.

Oleh hal yang demikian, Islam tidak sekadar diisytiharkan sebagai agama rasmi negara, tetapi dalam konteks yang lebih jitu iaitu sebagai ‘agama bagi Persekutuan’. Malah Islam itu sendiri menjamin kebebasan beragama.

Tidak hairanlah banyak kes diputuskan Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi negara yang mengukuhkan kedudukan Islam dalam negara dan menolak konsep pluralisme agama di Malaysia.

Oleh itu Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali menyamakan Islam dengan agama lain. Kedudukan Islam di dalam Perlembagaan adalah lebih tinggi daripada agama lain.

Banyak kelebihan diberikan kepada agama Islam berbanding agama lain termasuklah dana-dana awam boleh digunakan bagi pembangunan agama Islam.

Bagaimanapun, dengan kedudukan istimewa Islam ini, bukanlah bererti ia menyekat kebebasan orang bukan Islam menganut dan mengamalkan agama mereka.

Larangan sebar agama lain kepada orang Islam

Orang bukan Islam bebas menganut dan mengamalkan agama mereka, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan yang menetapkan penyebaran agama selain agama kepada orang Islam adalah dilarang.

Oleh itu, selain dari tidak selaras dengan ajaran Islam, pluralisme agama ini juga sebenarnya langsung tidak diiktiraf undang-undang. Orang yang mencanangkan pluralisme agama sebenarnya hanya ingin mengambil kesempatan daripada kekalutan masyarakat ketika ini dengan memperkenalkan ‘konsep baru’ kepada masyarakat.

Hakikatnya, sebagai seorang Islam, ia mestilah meyakini Islam sebagai satu-satunya agama yang benar. Memang benar ada ajaran agama lain yang baik dan ramai orang bukan Islam yang membuat kebaikan.

Namun, kebaikan itu tidak diberi imbuhan pahala dan syurga kerana perkara paling utama perlu diperbetulkan ialah akidah mereka.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.