Kapal pengangkut pesawat sulung mulakan percubaan laut, negara jiran khuatir
BEIJING: Kapal pengangkut pesawat pertama China sudah memulakan percu-baan laut buat pertama kalinya, kata Kementerian Pertahanan semalam, satu langkah yang kemungkinan akan memburukkan lagi kebimbangan mengenai pengembangan tentera ne-gara itu yang begitu cepat.
Beijing hanya baru-baru ini mengesahkan bahawa ia telah mengubah suai sebuah kapal Soviet lama untuk dijadikan kapal pengangkut pesawat pertamanya, sekaligus memburukkan lagi kebimbangan di kalangan negara-negara jiran mengenai pengembangan angkatan tentera negara itu dan kelantangannya yang semakin meningkat mengenai isu-isu wilayah.
“Menurut rancangan percubaan, percubaan laut pertama itu tidak akan memakan masa yang lama,” kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.
“Selepas ia kembali ke limbungan kapal (di bandar pelabuhan Dalian), kapal pengangkut itu akan meneruskan kerja ujian dan pemasangan semula.”
Beijing pada bulan lepas cuba meredakan kebimbangan mengenai keupayaan kapal pengangkut pertama itu, dan berkata ia akan digunakan untuk latihan dan “penyelidikan”.
Pegawai tertinggi angkatan tentera di negara itu, Chen Bingde hanya memberikan pengiktirafan rasmi tentang kapal pengangkut pesawat itu dalam satu temuramah dengan akhbar Hong Kong pada awal Jun lalu.
Namun laporan media dan penganalisis tentera sudah bertahun-tahun menyatakan kapal sepanjang 300 meter itu sedang diusahakan.
Kapal tersebut, dahulu dipanggil Varyag, pada asalnya dibuat untuk tentera laut Soviet. Pembinaan terganggu ekoran kejatuhan Soviet Union pada 1991.
Andrei Chang selaku ketua Pusat Maklumat Kanwa, yang memantau tentera China, memberitahu AFP percubaan itu kemungkinan akan memakan masa hanya sejam sahaja.
“Percubaan laut pertama hanya untuk menguji pelbagai perkara, seperti sama ada enjin berfungsi atau tidak,” katanya dan menambah dari pengalaman kapal pengangkut pesawat Soviet dan Perancis, percubaan laut dari semasa ke semasa akan diteruskan selama setahun dua lagi.
Pada minggu lepas Jepun menyuarakan kebimbangan tentang kelantangan China yang semakin meningkat dan jangkauan tentera lautnya yang semakin meluas selain apa yang disebutnya sebagai “fahaman yang sukar” tentang bajet tentera Beijing.
Projek kapal pesawat itu juga timbul ketika ketegangan yang meruncing berhubung beberapa pertikaian wilayah maritim melibatkan China, khususnya di Laut China Selatan, yang dipercayai kaya dengan hasil minyak dan gas dan dituntut oleh beberapa negara.
China dilaporkan membeli badan kapal perisai yang begitu besar itu — tanpa enjin, tenaga elektrik dan baling-baling — pada 1998.
Chang berkata beliau belum melihat sebarang bentuk peralatan penangkap di atas kapal pesawat itu – sistem mekanikal yang memperlahankan pesawat dengan cepat ketika ia mendarat – dalam gambar yang sudah dilihatnya setakat ini.
“Ini sangat aneh. Ia meru-pakan teknologi yang sangat rumit dan China belum mema-sangnya, kami tidak dapat mencarinya,” katanya.
“Itu bermakna mereka tidak dapat mendaratkan sebarang pesawat pejuang, mungkin hanya helikopter.”
Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), angkatan tentera terbesar di dunia, amat berahsia tentang program pertahanannya, yang mendapat faedah daripada bajet tentera yang begitu besar dan berkembang hasil pertumbuhan ekonomi negara yang begitu pesat.
PLA turut mengendalikan tentera laut. — AFP
Read more:
No comments:
Post a Comment
Thank you for your idea. What you give, You get back.