Pages

Saturday, January 4, 2014

Johor tutup pusat hiburan keluarga berunsur judi

Johor tutup pusat hiburan keluarga berunsur judi 
 

Johor Bahru: Kerajaan Johor mengarahkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini supaya melancarkan operasi bagi memastikan semua pusat hiburan keluarga yang berunsurkan perjudian di negeri ini ditutup sepenuhnya.

Langkah itu dilaksanakan berikutan keputusan kerajaan negeri tahun lalu untuk tidak lagi mengeluarkan lesen pusat hiburan terbabit, berkuat kuasa 1 Januari lalu.
 
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latiff Bandi, berkata operasi itu akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan premis hiburan itu dapat ditutup sepenuhnya.

“Kerajaan negeri sudah mengarahkan semua PBT di negeri ini mengambil tindakan terhadap pusat hiburan keluarga berunsurkan perjudian yang masih ingkar terhadap undang-undang baru ini.

Tak perbaharui lesen

“Operasi secara besar-besaran juga akan dilakukan dari semasa ke semasa. Malah, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan untuk tidak menyambung lesen lebih 100 permohonan pusat hiburan yang berunsurkan perjudian pada tahun lalu,” katanya kepada BH, semalam.

Pada Julai tahun lalu, BH dalam laporan berita eksklusifnya melaporkan mengenai keputusan kerajaan negeri untuk memansuhkan lesen pusat hiburan keluarga di seluruh negeri itu yang bertujuan membendung penularan dan peningkatan masalah sosial, terutama membabitkan generasi muda.

Menerusi langkah itu, Johor menjadi negeri pertama di negara ini yang menguatkuasakan larangan terbabit dan inisiatif itu dilihat akan membolehkan pelbagai kegiatan haram yang bertopengkan pusat hiburan terbabit dapat dikawal dan dibanteras.

Kuat kuasa 1 Januari

Abd Latiff berkata, menerusi langkah sama, pihaknya menjangkakan lebih 500 premis pusat hiburan keluarga berunsurkan perjudian yang masih beroperasi di negeri ini akan dikenakan tindakan penamatan lesen serta-merta, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

“Sebelum ini, kita sudah mengambil keputusan untuk tidak menyambung lesen pusat hiburan keluarga yang berunsurkan perjudian. Bagaimanapun, pusat hiburan keluarga yang mempunyai baki tempoh lesen masih dibenarkan beroperasi sehingga 31 Disember lalu.

“Bermula Ahad lalu, kita bukan saja tidak menyambung lesen pusat hiburan keluarga berunsurkan perjudian, malah mana-mana premis yang masih mempunyai baki tempoh lesen untuk beroperasi juga akan dibatalkan dengan serta- merta,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.