Pages

Friday, January 3, 2014

Jepun selamatkan warga China

Tokyo: Seorang lelaki warga China diselamatkan pengawal pantai Jepun selepas cubaannya mendarat dengan belon panas di pulau yang menjadi rebutan antara Tokyo dan Beijing, gagal, kata seorang pegawai Jepun semalam.

Lelaki berusia 35 tahun itu berlepas dari wilayah Fujian pada pagi Rabu, menyasarkan mendarat di pulau yang dikawal Tokyo, dikenali sebagai Senkaku dalam bahasa Jepun dan Diaoyu bagi orang China, kata pegawai pengawal pantai.
 
Hantar isyarat

“Beliau bagaimanapun menghantar isyarat meminta bantuan apabila berdepan masalah berhampiran pulau di Laut China Timur itu beberapa jam kemudian,” kata pegawai terbabit.

Sebuah helikopter penyelamat Jepun menemui belon terbabit 22 kilometer ke selatan pulau dan menyelamatkan lelaki itu yang tidak mengalami kecederaan, kata pegawai terbabit. Beliau diserahkan kepada kapal peronda China di luar perairan.

Aktivis China dan Taiwan cuba mendarat di pulau berkenaan beberapa kali tetapi dihalang oleh pengawal pantai Jepun.

Ketegangan serantau meningkat lewat November apabila China secara tiba-tiba mengisytiharkan Zon Pengenalan Pertahanan Udara di Laut China Timur, termasuk di pulau yang menjadi pertikaian.

Kapal dan pesawat milik China menghampiri Senkaku untuk melakukan demonstrasi wilayah yang dituntut Beijing itu, terutama sejak Jepun membeli beberapa pulau persendirian pada September 2012.

Ketegangan meningkat

Ketegangan di antara kedua-dua negara meningkat apabila Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe melawat pusara perang Yasukuni yang penuh kontroversi bulan lalu.

Pusara itu mengiktiraf pegawai tertinggi yang dihukum kerana jenayah perang selepas Perang Dunia Kedua dan bertujuan memperingati pencerobohan ke atas China dan negara Asia lain. - AGENSI

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.