Pages

Friday, January 3, 2014

Isu kalimah: Pengarang Herald dituntut mohon maaf

Isu kalimah: Pengarang Herald dituntut mohon maaf 

Syuhaidi (tiga dari kiri) bersama ahli UMNO bahagian Kapar membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Kapar, Klang, semalam.
 
Shah Alam: Tindakan Pengarang Herald-The Catholic Weekly, Lawrence Andrew, yang bertegas mahu menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya, mendapat bantahan pelbagai pihak.

Semalam saja berpuluh laporan polis dibuat di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur terhadap Andrew.
 
Di Selangor, UMNO Bahagian Shah Alam, Klang, Kapar, Kota Raja, Tanjung Karang dan Sabak Bernam membuat laporan terhadap Andrew, menuntutnya memohon maaf selain mahu tindakan dikenakan terhadapnya.Laporan polis yang dibuat serentak di sini, semalam, turut disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari, berkata pendirian pemimpin gereja itu dilihat seolah-olah satu penderhakaan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Sultan Selangor menitahkan supaya semua rakyat di Selangor akur dengan larangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan masyarakat bukan Islam,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Sehubungan itu, pergerakan berkenaan memberi tempoh empat hari untuk Andrew menarik balik kenyataannya.

Lebih 50 ahli dan pimpinan UMNO Bahagian Klang diketuai Datuk Nasarruddin M Zin, membuat laporan di IPD Klang Selatan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Syuhaidi Surani, yang membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Kapar, menyifatkan kenyataan paderi itu biadab serta menderhaka kepada Sultan Selangor.

Di Tanjung Karang, kira-kira 300 ahli Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Tanjung Karang serta NGO berkumpul secara aman sebelum membuat laporan polis.

Seramai 100 pemimpin akar umbi di Sabak Bernam, membuat laporan polis di IPD Sabak Bernam.

Pemuda UMNO Putrajaya, Sepang, Bukit Bintang, Puchong dan Serdang yang turut membuat laporan polis di IPD Putrajaya, juga mengecam tindakan PAS yang hanya berdiam diri dalam isu itu walaupun mendakwa memperjuangkan Islam.


Selar tindakan PAS

EXCO Pemuda UMNO, Azmir Yuzaimi Mohd Yunos, berkata tindakan PAS itu seolah-olah menunjukkan mereka bersetuju jika orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kenyataan Andrew bahawa gereja Katolik di Selangor akan menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu.

Di Petaling Jaya, UMNO Petaling Jaya Selatan (PJS) bersama empat NGO memberi tempoh tujuh hari kepada Andrew menarik balik kenyataannya atau berdepan tindakan undang-undang.

Ketuanya, Raja Datuk Hanipuddin Raja Nong Chik yang mengetuai kumpulan itu berkata, mereka membuat sembilan laporan polis berikutan tindakan Andrew yang melampau dan menderhaka kepada Sultan Selangor.

Mahu dakwa Andrew

“Sekiranya paderi itu enggan menarik balik kenyataannya, kami akan mendakwa beliau di mahkamah,” katanya selepas membuat laporan di IPD Petaling Jaya.

Empat lagi laporan polis dibuat Yang Dipertua Persatuan Penduduk Blok B, Pangsapuri Permai PJS 15, Damiri Majidah; Persatuan Profesional dan Komuniti Penggerak Warisan Melayu (PROGERAK), Feruddin Emir Moehamad Izat Emir; Pengerusi Persatuan Belia PJS, Shahrul Hisham Sulaiman dan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) PJS, Dazma Shah Daut.

UMNO Bahagian Subang turut membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Buloh.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma Ismail, berkata kenyataan Andrew jelas menghina mahkamah kerana Gereja Roman Katolik sendiri sudah memfailkan kebenaran untuk merayu kes ke Mahkamah Persekutuan berhubung kes berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.