Pages

Monday, December 9, 2013

Serang babi-buta program pesawat kawalan jauh AS

Sana’a: Kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas Kementerian Pertahanan Yaman yang mengorbankan sekurang-kurangnya 52 orang, Khamis lalu.

Pergerakan Ansar al-Sharia mengumumkan kelmarin ia melancarkan serangan, berkata sasaran adalah kumpulan di belakang program pesawat kawalan jauh Amerika Syarikat.
 
Kementerian Pertahanan diserbu dan diserang selepas mereka mendapat bukti ia menempatkan bilik kawalan pesawat kawalan jauh dan pakar Amerika.

“Sebagai sebahagian daripada dasar menyasarkan bilik kawalan pesawat kawalan jauh, serangan ini memberi tamparan hebat kepada salah satu daripadanya,” kata kumpulan itu dalam Twitter.

Menakutkan rakyat Yaman

Serangan pesawat kawalan jauh meningkat di Yaman sejak dua minggu lalu, ketika Amerika rancak memburu pejuang yang bersekutu dengan al-Qaeda. Namun, serangan membabi buta itu menakutkan rakyat Yaman, kata pengkritik.

Serangan bunuh diri dan seterusnya selepas itu oleh kumpulan bersenjata adalah yang terburuk di ibu kota Yaman dalam masa 18 bulan.

Ia meragut sekurang-kurangnya 52 nyawa dan mencederakan 167, termasuk askar, kakitangan dan orang awam di sebuah klinik tentera di dalam kompleks itu.

Pertempuran berlanjutan selama beberapa jam. Tujuh daripada mangsa adalah warga Filipina dan dua doktor Jerman.

Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle, berkata dua pekerja bantuan Jerman dan pengawal keselamatan rakyat tempatan antara yang terbunuh. Mereka bekerja untuk agensi persekutuan bagi kerjasama antarabangsa Jerman.

Negara berkenaan, sejak itu mengumumkan sudah meningkatkan paras keselamatan di Yaman, dan kedutaan dikendalikan dalam kecemasan dengan mengurangkan kakitangan, dan langkah keselamatan diperluaskan.

Semua pekerja warga negara itu diarah pulang, kata jurucakap Kementerian Luar Jerman kelmarin. - AGENSI

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.