Pages

Sunday, December 22, 2013

Jemaah umrah tersadai

800 jemaah umrah tersadai  
Sebahagian daripada 200 penumpang pakej umrah terkandas di sebuah hotel di Bayan Baru, Pulau Pinang, semalam.
 
Georgetown: Kira-kira 800 jemaah umrah dari seluruh negara tidak dapat menunaikan hasrat itu apabila pesawat yang sepatutnya membawa mereka ke Jeddah, Arab Saudi, tidak muncul.

Mereka yang sepatutnya berlepas dari beberapa lapangan terbang di seluruh negara tidak kesampaian meskipun sudah membayar RM6,100 seorang kepada agensi yang beribu pejabat di Alor Setar, Kedah.
 
Akibatnya, ada jemaah dikatakan terpaksa menginap di hotel, inap desa atau menumpang rumah saudara selepas syarikat itu menangguhkan perjalanan mereka sebanyak empat kali.

Ghazali Kasar, 53, yang sepatutnya berlepas bersama 18 ahli keluarganya, berkata agensi swasta berkenaan mendakwa berlaku masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Beliau berkata, mulanya mereka dijadualkan berlepas pada 5 Disember lalu melalui penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Jeddah tetapi ditangguhkan kepada 10 Disember.

Empat kali tangguh

“Kami mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila menerima penangguhan kali ketiga dan keempat pada Khamis lalu dan hari ini (semalam).

“Selain kami, saya difahamkan 800 jemaah yang sepatutnya berlepas dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Terengganu turut terkandas,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Bayan Baru di sini, semalam.

Ghazali berkata, beliau sekeluarga kini hilang kepercayaan terhadap agensi itu dan mendesak mereka bertanggungjawab di atas segala kesusahan yang dialami jemaah, termasuk menyewa hotel dengan perbelanjaan sendiri.

Katanya, akibat masalah itu, kebanyakan jemaah membatalkan hasrat untuk menunaikan umrah, sebaliknya pulang ke rumah masing-masing.

Lapor polis

“Saya difahamkan semua mangsa akan membuat laporan polis dan Kementerian Pelancongan serta mengambil tindakan guaman terhadap agensi itu, selain menuntut ganti rugi.

“Kami berasa ditipu agensi itu yang sebelum ini dikatakan mempunyai rekod baik dalam menyediakan perkhidmatan haji dan umrah sejak 25 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, usaha BH mendapatkan komen pengurusan syarikat berkenaan gagal apabila pengurusnya tidak dapat dihubungi.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.