Pages

Friday, November 8, 2013

MB JOHOR : Pembentangan Bajet 7 Musim sebelum datang 7 Musim terbaik.

168. Mengambil teladan dari al-Quran Surah Yusuf ayat 43-53, menceritakan Nabi Allah Yusuf telah dipenjara dek kerana angkara fitnah. Tatkala baginda dipenjarakan, Raja Mesir telah bermimpi bahawa 7 ekor lembu betina yang gemuk telah dimakan oleh 7 ekor lembu betina yang kurus, 7 biji gandum yang hijau dan 7 biji gandum yang kering, kemudiannya berlaku hujan. Dengan mukjizat yang dikurniakan Allah SWT kepada Baginda, Raja Mesir ketika itu telah memanggil Nabi Yusuf untuk mentafsirkan mimpi yang ganjil, ringkasnya seperti berikut; 7 tahun yang pertama adalah tahun kemakmuran dan disuruh untuk bekerja keras dengan bercucuk tanam dan menyimpan segala macam bahan makanan bagi menghadapi 7 tahun kemarau, seterusnya selepas itu turunlah hujan sebagai permulaan 7 tahun yang makmur kembali.


169. Jika diteliti dengan mata hati dan fikiran yang terbuka, iktibar ayat-ayat ini sebenarnya membawa sebuah makna yang begitu jelas iaitu untuk kita bersedia melakukan perancangan teliti bagi ekonomi sesebuah negeri dan bekerja keras melaksanakan perancangan itu bagi menghadapai cabaran mendatang.

170. Jadinya, mengambil ayat-ayat dari surah Yusuf itu tadi sebagai panduan bagi menghadapi cabaran ekonomi yang semakin berubah wajah dan tidak menentu, Kerajaan Negeri sedang merancang rapi dengan menjalankan kajian Johor Growth Vision and Strategic Thrust demi membugarkan lagi dan mengakarkan kekuatan ekonomi negeri supaya Johor berupaya menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

171. Melalui pelaksanaan kajian ini nanti, kita bakal melihat Johor sebagai high-income state bukan sahaja melalui sektor pelaburan, malah lebih dari itu menerusi pertumbuhan ekonomi mampan dipacu oleh teknologi dan infrastruktur moden, mempunyai modal insan yang berkemahiran tinggi, mewujudkan peluang dan ekosistem perniagaan yang kompetitif, menyediakan perkhidmatan awam yang efektif lagi efisien dan terlebih utama ialah, mengungguli kualiti kehidupan yang progresif dengan berpegang pada budaya dan tradisi kita. Inilah harapan yang diletakkan, inilah visi yang sedang dilaksanakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker,

172. Sepanjang detik yang berlalu, kita telah menggantikan kebimbangan dengan harapan sarat dengan peluang-peluang kejayaan bagi setiap anak-anak di negeri ini mendambakan masa depan yang lebih baik. Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih separuh warga negaranya hidup di paras kemiskinan dan hanya bergantung kepada beberapa komoditi tetapi sekarang negara kita telah berubah wajah menjadi sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi dengan ekonomi yang bersifat pelbagai. Namun kita tidak akan berpeluk tubuh dan merasa selesa dengan apa yang dicapai, malah kita akan terus berusaha untuk merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi. InsyaAllah.

173. Tegasnya disini, Bajet 2014 sememangnya menekankan soal nilai dan keadilan saksama pembangunan serta pengagihan. Lantaran itu, Kerajaan Negeri berikrar bahawa perlaksanaannya kelak akan mengatasi kepentingan individu, menjangkau batasan kaum, warna kulit mahupun kepercayaan agama hatta perbezaan ideologi politik sekalipun. Inilah keberkatan muafakat dimana setiap anak watan Johor itu sanggup bekorban, berkompromi dan berlebih kurang demi melihat Johor yang lebih maju lagi sejahtera.

174. Untuk itu saya menyeru supaya rakyat terus menerus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan sekarang demi melihat segala hasil perancangan yang sedang rancak dijalankan ini diterjemahkan sebaik mungkin. Marilah bersama-sama saya berdiri sebagai satu saf yang mantap membina sebuah negeri Johor yang lebih baik dari semalam. Saya yakin, dengan usaha yang berterusan, ikhlas dan disusuli dengan doa yang berpanjangan , Johor mampu menjadi simbol dan peneraju pembangunan yang maju dan adil lagi saksama.

175. Semoga apa yang kita usahakan ini mendapat petunjuk dan keberkatan dari Allah SWT. Akhir kata saya memohon kepada yang Maha Esa agar diberi kekuatan dan hidayah untuk melaksanakan tanggung jawab yang digalas dengan adil dan saksama.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.