Pages

Tuesday, October 29, 2013

Karpal Akui DAP Johor Berdepan Krisis?


Pengerusi DAP, Karpal Singh mengakui parti itu berdepan krisis kepimpinan di Johor, di antara Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dan timbalannya, Ong Kow Meng, namun yakin ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat.


“Semua parti politik di dunia tentu akan berdepan krisis kepimpinan dan DAP juga tidak terkecuali. Bagaimanapun, saya yakin krisis itu dapat kita selesaikan tak lama lagi,” katanya dilaporkan Antarapos.

Baru-baru ini Boo secara terbuka mencabar Ong bertanding jawatan pengerusi DAP Johor, Januari depan.

Kedudukan Boo juga dikatakan tidak selamat apabila kerap mengkritik Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan penasihat parti, Lim Kit Siang (Dinasti Lim). Difahamkan Ong mewakili proksi Dinasti Lim.

Boo berkata, beliau akan mengumumkan keputusannya sama ada akan mengekalkan jawatan di dalam parti itu atau sebaliknya dalam masa terdekat.

“Apabila tiba masanya, saya akan mengadakan sidang media untuk memaklumkan kepada anda (wartawan),” katanya.

Perbalahan dalaman itu merebak apabila ada ahli memulakan kempen untuk memecat ADUN Skudai itu dan timbalannya, Norman Fernandez.

Antara nama yang dicadang untuk menggantikan Boo ialah Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dan ADUN Jementah, Tan Chen Choon sementara ADUN Mengkibol, Tan Hong Pinang disebut-sebut sebagai pengganti Fernandez.

Sementara itu, Antarapos turut melaporkan DAP telah menubuhkan dua jawatankuasa untuk menyelesaikan perbalahan dalaman parti itu.

Satu jawatankuasa diketuai oleh Pengerusi Publisiti Kebangsaan, Tony Pua, untuk mengendalikan isu di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak dan Pahang.

Sementara satu lagi jawatankuasa diketuai oleh Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke yang ditugaskan untuk menyelesaikan perbalahan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Sabah.

Penubuhan kedua-dua jawatankuasa itu diumumkan oleh Guan Eng dan pemilihan kedua-dua tokoh itu bertepatan dengan gelaran yang diberikan kepada Pua dan Anthony sebagai ‘panglima Dinasti Lim.’

Parti itu dilanda perbalahan dalaman sejak beberapa bulan menjelang pilihan raya umum ke-13, terutamanya di beberapa negeri yang tidak sehaluan dengan Dinasti Lim.

Di Johor, beberapa ahli tidak puas hati dengan pengerusi negeri, Dr Boo Cheng Hau dan dilaporkan mendesak beliau meletakkan jawatan kerena mengkritik kepimpinan parti.

Di Melaka, pengerusi negeri, Goh Leong San ditegur kerana menyatakan ada campur tangan oleh pemimpin pusat di dalam urusan negeri dan diselar kerana memuji Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Di Kedah, wujud pemberontakan terbuka terhadap kepimpinan pusat apabila jawatankuasa negeri digantung dan ahli baru CEC, Zairil Khir Johari mengambil alih daripada pengerusi sementara, Lee Guan Aik. Krisis itu bermula apabila Lee tidak dicalonkan dalam pilihan raya lalu.

“Pengerusi kedua-dua jawatankuasa mesti mengadakan mesyuarat secepat mungkin dan penyelesaiannya dilaporkan kepada CEC dan saya,” kata Guan Eng.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your idea. What you give, You get back.