Pages

Monday, January 2, 2017

Intelligen kelicikan risik dalam era moden tidak boleh di pandang ringan.

Kejatuhan pemimpin lantang Indonesia, Sukarno dalam tahun 60-an merupakan satu kejayaan bagi perisikan asing. Ini diakui oleh ahli sejarah British, David Easter dalam jurnal Intelligence and National Security. Sukarno ketika itu dianggap sebagai duri dalam daging kuasa-kuasa Barat. Namun kelicikan perisikan dengan di tambah peranan media Barat berjaya membohongi rakyat Indonesia untuk menerima hakikat Sukarno akan tunduk kepada tekanan komunis.

Mereka yang memainkan peranan utama perisikan British ketika itu sehingga tersungkurnya Sukarno ialah Duta Britain ke Jakarta, Andrew Gilchrist dan pakar propaganda Pejabat Luar Britain, Norman Reddaway. Mereka inilah yang menggoncang kestabilan kerajaan Indonesia. Malaysia juga sebenarnya tidak terlepas daripada intipan ejen perisikan. Pada awal 80-an, seorang bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri turut dilatih oleh kuasa luar untuk menjadi ejen perisikan Soviet Union.

Kewujudan pejabat kedutaan Israel di Singapura tidak harus dipandang ringan kerana negara di selatan Semenanjung ini adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mempunyai hubungan diplomatik secara langsung dengan negara Yahudi itu. Tidak mustahil rakyat Singapura diupah oleh ejen-ejen perisikan Israel untuk menjalankan intipan terhadap negara kita.

Perisikan alaf baru kini lebih mirip kepada risikan dan rahsia kerajaan yang melibatkan propaganda dan gerak saraf ideologi. Ejen-ejen perisikan akan menyusup masuk ke sektor ekonomi, pentadbiran, sistem pertahanan negara dan malah akan cuba berbaik-baik dengan pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka akan mengeluarkan bantuan kewangan, peralatan komunikasi yang canggih, alat pengintipan yang serba moden, senjata dan latihan sama ada kepada individu atau kumpulan tertentu. Bagi mereka sesiapa sahaja yang dilihat boleh membantu mencapai matlamat risikan, akan menjadi sasaran.

Kerajaan perlu berhati-hati dalam memilih kontraktor pembinaan dan perlu juga mencampuri urusan penambilan buruh asing oleh kontraktor terbabit agar tidak terdapat ejen perisikan asing yang menyamar sebagai buruh binaan. Mungkin kerajaan boleh mengambil modul dan prosedur saringan dan semakan yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa pembinaan Kem Tuanku Sirajuddin di Gemas. Siasatan latar belakang pekerja dan tahap keselamatan dalaman yang tinggi semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan begitu terperinci dan teliti sekali semata-mata untuk mengelak dan memastikan selok belok tempat strategik pertahanan negara tidak diceroboh oleh pihak asing.

Malah kerajaan sebelum ini pernah mengarahkan Jabatan Imigresen menyiasat latar belakang pekerja asing yang berkhidmat dengan pemimpin negara dan pegawai tinggi kerajaan bagi memastikan mereka bukan ejen-ejen perisik luar negara. Walaupun arahan ini telah lama dikeluarkan, kita berharap Jabatan Imigresen dapat meneruskan peranan ini. Kerajaan juga harus mengambil langkah berhati-hati dalam memberi visa dan permit kerja kepada warga asing dalam bidang-bidang tertentu.

Dalam era teknologi canggih ini, risikan boleh dilakukan dengan berbagai cara dan maklumat boleh disampaikan dengan begitu pantas sekali. Komunikasi tanpa sempadan dan capaian internet berkelajuan tinggi akan membolehkan maklumat risikan sampai ke kuasa luar dengan begitu cepat sekali. Ini belum lagi penggunaan teknologi satelit dan sistem informasi geografi (GIS) yang semakin hari semakin canggih dan terkini teknologinya. Perlu diingat 80% satelit di ruang angkasa bumi adalah satelit yang berfungsi perisikan yang dimiliki oleh kuasa-kuasa besar.

Sektor ekonomi juga tidak boleh lari daripada menjadi intipan ejen perisikan. Pengambilan tenaga profesional negara asing dalam syarikat-syarikat besar tempatan yang mempunyai kuasa penentu jatuh bangun ekonomi negara perlu juga dipantau. Tidak mustahil mereka berperanan sebagai pemberi maklumat yang berharga kepada musuh negara dengan bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi negara.

Kita harus berwaspada dengan peranan ejen perisikan ini kerana mereka bersedia melakukan apa sahaja untuk mengintip dan menyusup rahsia. Mereka akan menyamar, mengupah ejen tempatan, membuat rakaman dan penyalinan dokumen rahsia sama ada menggunakan telefon, kamera, menceroboh sistem komputer kerajaan dan rakam bual pihak tertentu dengan tujuan untuk mengintip.

Hanya semangat cintakan negara mampu menghalang kemaraan ejen-ejen perisikan ini yang berada di sekeliling kita. Sikap kitalah yang akan menentukan sejauh mana kejayaan ejen-ejen perisik asing ini

UCAPAN SEMPENA TAHUN BAHARU 2017 TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN PRESIDEN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA

1. Dari pelbagai sudut, tahun 2016 merupakan tahun yang penuh dengan krisis - krisis kepemimpinan, krisis keyakinan, krisis keruntuhan institusi negara dan krisis moral yang dialami oleh pimpinan negara.

2. Pelbagai pembongkaran mengenai penyelewengan telah berlaku pada 2016. Rompakan harta negara dilakukan secara terang-terangan, rakus dan sombong melibatkan berbilion ringgit wang awam sepertimana yang terjadi dalam kes penyelewengan 1MDB dan kerugian yang dialami Felda akibat urusniaga yang tidak masuk akal.

3. Ia juga merupakan tahun kejatuhan nilai ringgit paling rendah dalam sejarah negara. Di samping faktor ekonomi dan kewangan antarabangsa, tidak dinafikan kejatuhan ringgit yang teruk juga disebabkan oleh krisis keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap pengurusan ekonomi Malaysia di bawah pentadbiran Najib. Masakan kepercayaan masyarakat antarabangsa boleh diraih tatkala Najib dikenali sebagai Perdana Menteri paling korup di dunia.

4. Akibatnya, rakyat menanggung kesan paling buruk. Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan kos barangan import meningkat secara mendadak dan harga barangan keperluan harian semakin mahal Rakyat semakin menderita akibat kos sara hidup yang kian meningkat. Akibat kejatuhan harga minyak dunia, hasil negara juga berkurangan. Lebih mengecewakan, hasil negara yang berkurangan ini pun terpaksa digunakan untuk membayar hutang piutang dan tanggungan negara yang semakin meningkat disebabkan oleh pelbagai penyelewengan, ketirisan dan salah urus ekonomi negara di bawah pentadbiran seorang Perdana Menteri yang tidak amanah.

5. Akibatnya, peruntukan kerajaan untuk sektor-sektor utama yang menyentuh kebajikan rakyat seperti pendidikan dan kesihatan terpaksa dipotong. Kerajaan sudah tidak mampu lagi untuk menyediakan biasiswa kepada pelajar seperti dahulu. Peruntukan kepada universiti-universiti awam juga dikurangkan. Malah peruntukan kepada hospital-hospital awam juga mengalami penurunan. Sehinggakan di sesetengah hospital awam, pesakit tidak lagi  dapat menikmati perkhidmatan kesihatan percuma seperti sebelumnya. Semua ini menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan untuk membela kebajikan mereka.

6. Selain itu, keruntuhan institusi negara secara amnya di bawah kepimpinan Najib semakin memburukkan lagi keadaan. Sudahlah pekung penyelewengan dan salah laku kepimpinannya diketahui di seluruh dunia, namun harapan untuk melihat beliau mengambil tanggungjawab di atas segala kemungkaran yang dilakukan nampaknya semakin kelam. Ketikamana pendakwaraya di Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland dan negara-negara lain telah berjaya mengesan kecurian wang 1MDB dan mendakwa mereka yang terbabit, anehnya Peguam Negara Malaysia sehingga kini langsung tidak menjumpai sebarang bukti untuk mendakwa Najib dan konco-konconya yang telah merompak dan menyamun wang 1MDB. Malah, mereka yang mempersoalkan penyelewengan 1MDB pula disiasat dan didakwa. Lebih lama rejim ini dibiarkan berkuasa, maka lebih banyaklah institusi penting negara diruntuhkan, lebih parah kerosakan yang dilakukan dan lebih besar kerugian yang akan ditanggung oleh rakyat.

7. Saya juga bimbang dengan tindakan kerajaan Malaysia pada 2016 menjalinkan kerjasama dengan negara China membabitkan penjualan banyak aset strategik dan projek negara yang jatuh dimiliki syarikat dari negara China termasuklah pegangan dalam Bandar Malaysia serta tambahan hutang bagi projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Dengan tambahan hutang bernilai RM50 billion dalam Projek ECRL dalam masa sama hutang 1MDB sebanyak RM53bilion belum lagi selesai, apa yang dilakukan Kerajaan  hari ini amat berisiko kepada kedaulatan negara kerana negara kini menanggung hutang yang tinggi dan terpaksa bergantung harap kepada negara luar.

8. Kita sepatutnya tidak berkompromi hak kita hanya kerana mahu mendapatkan bantuan dari sebuah negara asing. Ia bukan isu ekonomi atau perniagaan tetapi menyentuh kedaulatan kita. Ianya berimplikasi besar kepada negara oleh kerana kebergantungan tinggi kepada negara luar dari segi kewangan, kepakaran dan guna tenaga.

9. Yang tinggal hanyalah kuasa rakyat. Jika kita ingin melihat negara kita ditadbir secara lebih bertanggungjawab, maka setiap rakyat yang mempunyai satu undi di tangan masing-masing perlu membuat pertimbangan yang wajar dalam pilihanraya akan datang. Adakah kita mahu mengambil sikap tidak apa dengan membiarkan sahaja pemimpin yang tidak amanah terus merompak harta negara dengan rakus dan mengenepikan kepentingan rakyat, atau mengambil satu pendirian yang tegas dan iltizam yang kukuh untuk melakukan perubahan dengan menggantikan kerajaan sedia ada dengan kerajaan baharu yang lebih beramanah dan bermaruah.

10. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lahir untuk menyatukan rakyat dalam satu perjuangan melakukan perubahan melalui agenda reformasi, keadilan, keterangkuman, kesederhanaan dan progresif. Kita mensasarkan untuk menamatkan kemusnahan berterusan negara dan mengemudi semula arah tuju negara demi khidmat kepada rakyat. Kita juga akan memulihkan semula institusi demokrasi melalui reformasi institusi yang menyeluruh.

11. PPBM dengan semua rakan sekutu yang terdiri daripada parti-parti pembangkang yang mempunyai haluan yang sama akan bekerja kuat untuk memastikan negara dapat diselamatkan, kepentingan rakyat dipelihara dan maruah serta kegemilangan Malaysia diraih semula.

12. Justeru, saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama berganding bahu dalam perjuangan melakukan perubahan  dalam apa jua kapasiti kerana kegagalan bukan lagi satu pilihan untuk kita. Kepada rakan sekutu PPBM, marilah kita bekerjasama dan berunding secara bersama dengan satu tujuan untuk menawarkan kepada rakyat satu pilihan parti politik yang lebih kredibel untuk menerajui negara. Kita tidak boleh melakukan perkara yang sama saban masa dengan mengharapkan hasil yang berbeza. Jadi, kita perlu menumpukan perhatian untuk memenangi pilihanraya akan datang, membentuk kerajaan  dan menyelamatkan Malaysia.

13. InsyaAllah, masa untuk melakukan perubahan hampir tiba. Mudah-mudahan tahun 2017 akan menyongsong satu perubahan baharu untuk Malaysia. Marilah kita bersatu menghadapi ancaman masakini.

Selamat Tahun Baru!

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia