Pages

Monday, June 20, 2016

PENDIRIAN TUN DR MAHATHIR.

1. Mereka bertanya apakah pendirian saya setelah mereka menang.

2. Pendirian saya tidak berubah. Mungkin ia menjadi lebih keras.

3. Saya tidak mungkin sokong perbuatan salah guna kuasa seperti menubuh dana kekayaan negara dengan berhutang; pengurusan dana ini sehingga rugi berbillion-billion; pembelian oleh 1MDB tanah Kerajaan bernilai 3000 RM pada harga RM 60 skp; Penglibatan Jho Low dalam pengurusan 1MDB; pemindahan bermillion dollar Amerika kepada syarikat milik Jho Low; pengakuan Najib bahawa adalah benar wang sebanyak 2.6 billion Ringgit ada dalam akaun peribadinya; kegagalan Najib menjelas dari mana datangnya wang ini; kehilangan berbillion Ringgit wang 1MDB; pemindahan beban bayaran hutang 1MDB kepada Kerajaan.

4. Saya juga tidak mungkin sokong penyalahgunaan kuasa oleh Najib dengan menangkap, memasukkan dalam tahanan, menuduh dengan mengguna undang-undang yang salah iatu undang-undang anti-terrorist yang kemudian ditukar kepada undang-undang mensabotaj ekonomi kononnya, membuang A.G. supaya dapat diganti dengan A.G. yang sanggup berbohong dan berselindung di belakang OSA.

5. Saya tidak dapat terima seorang Perdana Menteri yang menjatuhkan maruah bangsa dan negara setelah akhbar dan TV seluruh dunia menyiar dengan terang dan bukti yang jelas akan salah laku Najib berkenaan duit 1MDB; institusi-institusi Kerajaan di Switzerland, Singapura mendakwa berkenaan kesalahan 1MDB pimpinan Dato Seri Najib dalam pengurusan wang 1MDB; pembayaran berbillion Ringgit kepada syarikat palsu, yang menyebabkan 1MDB disaman oleh badan milik Kerajaan Abu Dhabi supaya dibayar gantinya sebanyak RM 20 billion lebih.

6. Saya tidak dapat terima Najib yang berpegang kepada konsep “Cash is King”, Wang Tunai itu Raja – iaitu mengamal rasuah sebagai prinsip politiknya.

7. Kemenangan luar biasa BN dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar jelas dihasilkan dari pemberian wang dan barang-barang kepada pengundi. Perbuatan ini dilihat oleh orang ramai. Tidak ada perasaan segan silu atau malu apabila membuat penipuan untuk mendapat kemenangan.

8. Maruah bangsa dan negara sudah dimusnah sehingga rakyat Malaysia yang dahulu bermaruah sudah turut contoh yang ditunjuk oleh pemimpin.

9. Mereka yang bertanya akan pendirian saya perlu bertanya diri sendiri apakah maruah kamu sudah tidak ada lagi sehingga sanggup berbangga dengan kemenangan hasil penipuan, hasil rasuah yang terbuka dan salah guna kuasa yang ketara.

10. Bagi saya usaha untuk membersih Kerajaan Malaysia akan saya teruskan dengan apa cara sekalipun.

Kabinet patut dipertanggungjawabkan atas masaalah 1MDB??? Ku Li !!!

Keseluruhan Kabinet patut dipertanggungjawabkan atas masalah yang dihadapi syarikat 1Malaysia Development Berhad, kata veteran Umno Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini, dan menambah beban itu bukan di bahu perdana menteri seorang saja.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata jika ahli Kabinet tidak sedar mengenai isu 1MDB, mereka sepatutnya membuat siasatan, bukannya menuding jari ke arah orang lain.

“Semua di sana (dalam Kabinet) perlu bertanggungjawab secara kolektif terhadap masalah itu. Anda tidak boleh kata ia bukan masalah anda, bukan masalah saya,” kata bekas menteri kewangan itu kepada wartawan ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

“Selagi anda anggota Kabinet, sama ada anda tahu atau tidak tahu apa yang sedang berlaku dalam kerajaan, anda sama dan turut bertanggungjawab,” katanya.

Tengku Razaleigh hari ini berkata tidak sewajarnya ahli Kabinet dakwa tidak tahu mengenai skandal itu, memandangkan sudah ramai yang bercakap mengenai 1MDB.

“Orang lain tahu, bagaimana ahli Kabinet tidak tahu? Sibuk dengan perkara lain?,” katanya yang juga ahli Parlimen Gua Musang.

Bagaimanapun, beliau enggan berkongsi pandangannya berhubung syarikat yang sedang sarat menanggung hutang itu, berkata beliau harap untuk mendapatkan “gambaran keseluruhan” terlebih dulu.
Katanya, 1MDB menjadi “buah mulut kerana ada sesuatu yang di luar kebiasaan dan di ambang penipuan”, tetapi menambah beliau akan menunggu sehingga laporan rasmi dikeluarkan.

“Kita hanya bergantung pada maklumat yang keluar cebisan demi cebisan daripada pelbagai sumber.

“Jadi mari kita lihat keseluruhan gambar. Pada masa ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga sedang menyusun untuk bagaimana melihat masalah ini,” katanya

Jawatankuasa dwi parti itu memulakan prosidingnya mengenai perkara itu pada Selasa lalu, selepas memutuskan untuk tidak menunggu siasatan ketua audit negara disiapkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan ketua audit negara menjalankan siasatan dan menyerahkan hasilnya kepada PAC untuk ketelusan. Tetapi, kritikan yang semakin banyak dan pendedahan dalam laman web Sarawak Report mendorong PAC memulakan pendengarannya lebih awal.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka mengkritik cara kerajaan mengendalikan isu itu, dan berkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana hendak memberi penjelasan kepada rakyat mengenai masalah 1MDB, yang menanggung RM42 bilion hutang dalam hanya 6 tahun beroperasi.