PETALING JAYA, Sabtu – “Sesuatu yang tidak betul berlaku dalam 1MDB dan tiada siapa boleh menafikannya.”
Demikian kata Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak, yang juga adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengenai syarikat pelaburan negara yang ditimpa kontroversi, – 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam sesi soal jawab pada program StarLIVE Business Series: Power Talks yang di Menara Star di sini, beliau berkata:
“Jumlah hutang adalah jauh lebih banyak daripada modal asasnya. Kedua, pada tahun 2009, 1MDB menerbitkan RM5 bilion bon ke atas pasaran modal tetapi tidak banyak maklumat yang saya tahu mengenainya.”
Bagaimanapun, beliau berkata, bon itu telah menunjukkan bahawa urusniaga tidak dinilai sewajarnya dan dikendalikan dengan cara yang sangat luar biasa.
“Oleh itu, pada tahun 2009, berdasarkan maklumat awam, saya berkata bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam 1MDB,” kata Nazir seperti dilaporkan The Star, hari ini.
Beliau berkata, terdapat kurangnya ketelusan dalam urus niaga dan kebimbangan terhadap pertukaran juruaudit dan akaun yang tertangguh.
“Dari segi betapa besarnya salah laku, apa yang salah dan siapa yang melakukan kesalahan, itu adalah tugas Ketua Audit Negara, PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) dan tugas-tugas itu masih dalam proses,” katanya.
Nazir berkata, orang yang bertanggungjawab melakukan sebarang salah laku seharusnya bertanggungjawab terhadap tindakannya supaya tiada siapa lagi yang berani melakukannya sekali lagi.