Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempertahankan tindakan bersama dengan pemimpin pembangkang semasa menandatangani Deklarasi Rakyat Jumaat lepas, mengatakan ianya bertujuan untuk menyelamatkan Malaysia.
Bekas timbalan perdana menteri itu bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kini diserang hebat dalam akhbar berbahasa Melayu di atas tindakan mereka duduk semeja dengan pemimpin pembangkang termasuk Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
"Jika Najib boleh duduk sepentas dengan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang atas nama kerjasama politik, mengapa pula Tun Mahathir, saya dan Mukhriz tidak boleh duduk semeja dengan tokoh-tokoh di atas untuk menyelamatkan Malaysia?
"Mengapa perlu digunakan standard yang berbeza untuk kami berbanding Najib?" soal Muhyiddin dalam kenyataan disiarkan di Facebook hari ini.
Muhyiddin berkata penyertaannya, Mukhriz dan beberapa bekas pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) pada sidang media upacara menandatangani Deklarasi Rakyat yang diketuai Dr Mahathir mengundang kritikan daripada segelintir pemimpin parti yang bimbang.
"Mereka nampaknya tidak senang dengan kejayaan Tun Dr Mahathir menghimpunkan tokoh-tokoh BN, Pakatan Harapan, PAS dan masyarakat sivil untuk duduk bersama mendesak Datuk Seri Najib Razak supaya berundur.
"Agak malang apabila mereka menggunakan kehadiran Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam upacara tersebut untuk menggambarkan seolah-olah Deklarasi Rakyat adalah agenda DAP untuk menghancurkan Umno dan seterusnya melabel Tun Mahathir sebagai pengkhianat perjuangan Umno," katanya.
Menurut Muhyiddin, tuduhan ini sama sekali tidak benar kerana Deklarasi Rakyat bukan agenda mana-mana parti politik.
"Ia terbit daripada kesedaran individu daripada pelbagai latar belakang sosial dan politik yang sedar kedudukan Najib sebagai perdana menteri sudah tidak wajar lagi memandangkan beliau terpalit dengan pelbagai skandal kewangan yang menjejaskan keyakinan rakyat kepada beliau untuk memimpin Malaysia.
"Malah imej negara kita juga terjejas teruk di peringkat antarabangsa.
"Hakikatnya, Deklarasi Rakyat adalah perjuangan rakyat yang merentasi ideologi politik, kaum dan agama untuk menentang kemungkaran, menyelamatkan Malaysia dan menebus kembali maruah negara.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut menegaskan, selain Lim, ramai lagi tokoh daripada pelbagai latar belakang turut hadir seperti Tun Dr Ling Liong Sik, Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Aziz Yassin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Mustafa Ali, Datuk Dr Khairuddin Al-Takiri, Datuk Kadir Jasin, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan ramai lagi. – 8 Mac, 2016.