SURAT KEPADA AHLI DAN PEMIMPIN UMNO AKAR UMBI
1. Negara Malaysia tercinta ini adalah hasil perjuangan UMNO sebagai sebuah parti, bukan oleh sesiapa atau seseorang.
2. Sebab itu apabila Dato Onn Jaafar, Pengasas dan Yang diPertua Parti yang pertama, membuat cadangan yang bertentangan dengan pejuangan parti, cadangannya di tolak dan dianya keluar dari parti.
3. Hari ini kita dapati UMNO sudah jadi milik Presiden dan perjuangan UMNO terhad kepada mendokong Presiden. Kesetiaan ahli terhad kepada Presiden, tidak lagi kepada parti, tidak lagi kepada bangsa, agama dan negara.
4. Ini ternampak jelas apabila slogan Satu Malaysia yang sama dengan Malaysian Malaysia diperkenal, penjajah dahulu dilantik sebagai penasihat, penggunaan konsultan Barat. Penubuhan Pemandu untuk mengganti Unit Perancang Ekonomi, bayaran gaji kepada badan bukan Kerajaan yang amat tinggi, meletak negara dibawah kehendak Singapura, meminjam berbillion Ringgit yang dilabur sebahagian besar di luar negera, menubuh 1MDB dengan modal pinjaman yang besar, tidak dapat membukti dimana modal yang dilabur berada, gagal membayar faedah hutang, membeli tanah Kerajaan dengan harga yang amat murah, menjual tanah ini kepada institusi Kerajaan dengan harga 50 kali ganda lebih tinggi, wang Tabung Haji diguna secara yang sama, keuntungan yang berlebihan ini diguna untuk menampung kerugian 1MDB, 2.6 billion Ringgit tiba-tiba berada dalam akaun peribadi Najib, kononnya derma dari orang Arab, siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah dan Bank Negara ditamat oleh Najib sebelum tindakan dapat diambil, Pendakwa Raya dibuang, PAC dibubar supaya tidak dapat menyiasat 1MDB, cara hidup mewah lebih dari kemampuan Perdana Menteri, gaji minima dinaik sehingga kilang-kilang berpindah ke negara lain dan pekerja hilang pekerjaan, kejatuhan mata wang dan nilai saham yang teruk, cukai GST dikenakan sehingga peniaga kecil terpaksa tutup kedai, kos sara hidup meningkat, beban bagi rakyat bertambah, sesiapa yang menegur disoal oleh polis, dituduh sabotaj bank dan kewangan negara dan dimasuk dalam tahanan dibawah undang-undang yang salah.
5. Besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU 14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang. BN dan UMNO akan menjadi parti pembangkang. Sebagai pembangkang tidak akan ada apa-apa yang boleh dibuat oleh UMNO untuk bangsa, negara dan agama.
6. Menyokong Najib mungkin memberi nikmat kepada orang tertentu hari ini. Tetapi apabila BN kalah nikmat semua akan hilang.
7. Sebaliknya jika Najib berhenti dari menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, besar kemungkinan UMNO akan pulih semula dan BN akan menang PRU 14. Dengan itu bangsa, negara dan agama akan lebih selamat. Negara akan maju semula dan semua rakyat akan dapat nikmat.
8. Wahai ahli dan pemimpin UMNO diakar umbi. Fikirlah baik-baik. Jangan sokong dan setia secara buta tuli, atau kerana dapat nikmat hari ini. Bangsa kita akan kutuk kita jika nasib bangsa menjadi buruk kerana kita tamak dan lupakan perjuangan UMNO. Dan segala nikmat yang kita dapati akan musnah, bahkan Kerajaan parti lawan akan bertindak keatas kesalahan mereka semasa memerintah.
9. Semua ini memburukkan nama Malaysia dan merugikan rakyat.
10. Wahai ahli dan pemimpin UMNO diperingkat akar umbi.
11. Jika ingin selamat dan menang tolaklah kepimpinan DSN sebelum PRU14.
12. Tolaklah kepimpinannya sebelum PRU14 supaya UMNO selamat dan mampu memenangi PRU dan kekal sebagai Kerajaan yang adil kepada semua.
13. Saya menulis dalam blog saya kerana sekatan yang ketat diadakan supaya saya tidak dapat berjumpa dan bercakap dengan ahli UMNO dan orang awam. Jentera yang diguna yang terdiri dari badan-badan Kerajaan dan parti amatlah berkesan. Dengan sendirinya ini menjadi bukti kesalahan-kesalahan sedang dilakukan.