MTEM merasakan penstrukturan itu baik dan tepat pada masanya di kala kejatuhan harga minyak dunia. Antara yang lain yang dilihat berkesan dan baik adalah seperti berikut.
Kerajaan juga telah memperuntukkan 30% perbelanjaan tahunan kepada agensi kerajaan dan GLC dan melaburkannya dalam negara. Ini akan membantu merancakkan lagi pertumbuhan di dalam ekonomi negara dan pasaran tempatan.
Dana yang diperuntukkan sebanyak RM800 juta untuk membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti sekolah, hospital, jambatan dan jalan raya dan tambahan RM100 JUTA yang disediakan kepada TEKUN dan RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah amat di alu-alu kan dan perlu disegerakan. Namun, pada masa yang sama, mekanisma yang telus dalam memastikan tiada ketirisan berlaku bagi memastikan penyampaian dan pelaksanaan projek.
Penglibatan sektor swasta di dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) harus di puji kerana ianya akan membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk mempromosi barangan mereka ke pasaran yang lebih luas. Namun, Kerajaan harus mewujudkan satu platform dan mekanisma yang jelas untuk penglibatan usahawan untuk masuk ke pasaran Asean.
MTEM juga melihat faktor kejatuhan matawang ringgit harus diteliti dengan lebih mendalam. MTEM menjangkakan bahawa nilai mata wang ringgit akan mengalami kejatuhan sehingga RM3.72 berbanding mata wang Amerika Syarikat. Ini akan memberi kesan kepada dagangan antarabangsa terutamanya nilai pertukaran yang menggunakan mata wang Malaysia. Tambahan pula, hutang negara akan terus meningkat akibat kejatuhan nilai mata wang Malaysia.
MTEM juga merasakan terdapat keperluan untuk mengkaji semula levi yang dikenakan kepada pekerja asing. MTEM merasakan perlu untuk mengetatkan pengambilan pekerja asing dan kadar levi ini ditingkatkan agar kepentingan pekerja tempatan dapat dijaga. Ini sejajar dengan kajian yang dilakukan oleh Khazanah Research Institute yang mengatakan 2 pekerja tempatan akan kehilangan peluang pekerjaan sekiranya 10 pekerja asing di ambil sebagai pekerja.
Polisi dalam menangani ketidaksamaan tidak dinyatakan didalam penstrukturan bajet. Malah tiada tanda tanda atau langkah yang jelas untuk mengurangkan ketidaksamaan negara yang berlaku sekarang.
MTEM berpandangan kerajaan harus lebih fokus dengan menggunakan instrumen lain sebagai menggalakkan pertumbuhan ekonomi di dalam negara. Inisiatif inisiatif seperti pasar tani khas dan inisiatif lain oleh kementerian pertanian harus diperbanyakkan dan dilakukan oleh kementerian lain berbanding menggalakkan penjualan mega. Ini adalah kerana untuk mengelakkan pembaziran.
Pemberian kontrak secara terus kepada kontraktor kecil ini dilihat baik bagi membantu kontraktor ini dalam pembangunan pasca banjir dan projek pembangunan secara umumnya. Sehubungan itu dasar kerajaan yang mengagihkan kontrak perolehan secara terus kepada kontraktor utama harus diteliti semula agar memastikan pengagihan peluang dapat dilakukan secara lebih meluas. Contoh boleh dilihat kepada subkontraktor yang sedia ada di JKR sebelum ini.
Langkah fiscal reform dan consolidation yang diperkenalkan oleh kerajaan dilihat bagus dari segi peningkatan dividen GLC dan GLIC dan badan badan kerajaan yang lain bagi meningkatkan pendapatan negara. Namun, MTEM merasakan bahawa pemberian geran kepada badan berkanun serta GLC harus di kaji dan di teliti secara mendalam mengambil kira program program kritikal untuk rakyat. Kerajaan harus memastikan bahawa potongan tidak akan memberikan implikasi negatif kepada sektor kritikal sebagai contoh kesihatan, perkhidmatan awam, kebajikan rakyat dan pendidikan kemiskinan, pembangunan luar bandar dan pembangunan usahawan.
MTEM juga ingin mencadangkan langkah langkah serta dasar yang bersesuaian perlu diteliti dalam menghadapi fenomena luar jangka bencana alam seperti banjir. MTEM ingin mencadangkan temporary housing dan rumah kekal dengan mengambil kira faktor reka bentuk, geografi dan struktur rumah yang bakal dibina supaya dapat menyesuaikan diri dengan situasi bencana. Langkah langkah pencegahan seperti pemuliharaan alam, pengekalan kawasan tadahan dan dasar pembalakan dan dasar ladang hutan harus di teliti semula untuk mengelakkan kerugian jangka panjang yang berterusan.
Pengekalan perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan sebanyak RM48.5 billion akan diteruskan dan turut melibatkan projek berimpak tinggi seperti MRT jajaran kedua, High Speed Rail Kuala Lumpur-Sngapura dan Rapid Pengerang. Ini dapat di fahami adalah kerana GDV bagi projek tersebut mampu melonjak Malaysia mahu mencapai negara yang berstatus negara berpendapatan tinggi. MTEM melihat fokus pembangunan harus diutamakan kepada projek jangka pendek dan panjang yang memberi manfaat kepada masyarakat terbanyak seperti rumah mampu milik, pengangkutan awam seperti bas, projek sanitasi dan saliran serta membina fasilitasi luar bandar dan pengangkutan awam seperti “feeder” di dalam bandar.
MTEM merasakan penstrukturan budget ini adalah perlu dan penekanan yang lebih perlu dilakukan untuk menangani kesan jangka panjang dan mengambil langkah pendekatan berjaga jaga (precautionary measures) dalam konteks penjimatan perbelanjaan kerajaan. Ini diperlukan sebagai langkah awal dalam menagani kucupan ringgit, kejatuhan harga minyak dan kemungkinan krisis ekonomi yang mungkin berlaku. Langkah langkah penstrukturan bajet harus disusuli dengan memaastikan keberkesanan program dan pemantauan yang berterusan bagi mengelakkan ketirisan. Selain itu pertindanan sistem penyampaian dan perlaksanaan projek perlu diperkemaskan serta pemfokusan kepada projek projek mega dapat dikurangkan dengan memastikan dasar pembangunan secara pengagihan secara menyeluruh dan penyelesaian masalah fundamental seperti rumah, saliran, dan kebolehcapaian serta infrastruktur asas diselesaikan. Ini pastinya dapat membantu rakyat secara menyeluruh.
Kerajaan juga harus memastikan bahawa setiap modal yang ada di dalam negara harus kekal di dalam negara di kala kita mengalami situasi ekonomi yang sukar. Justeru itu, cadangan kerajaan untuk mengenepikan pertimbangan kawalan modal sebagai instrumen untuk memastikan modal yang ada di dalam negara harus kekal di dalam negara. Justeru itu, kawalan modal dilihat sebagai instrumen yang masih relevan supaya kumpulan berpendapatan tinggi, syarikat yang berskala besar mahupun pelabur asing tidak mengeluarkan modal mereka yang berada di dalam negara.
Secara dasarnya,penstrukturan bajet ini telah memperlihatkan bahawa di kala menghadapi situasi ekonomi yang sukar terdapat keperluan untuk membantu rakyat tempatan dari segi memperuntukkan kuota tertentu dalam perolehan kerajaan dan GLC, mempromosikan pembelian barangan buatan Malaysia dan keutamaan kepada kontraktor kontraktor tempatan padahal ia bertentangan dengan isi perjanjian di dalam TPPA. Ini secara jelas membuktikan kerajaan perlu mempertimbangkan semula hasrat menyertai TPPA. Langkah langkah keistimewaan terpilih (preferential treatment) kepada syarikat tempatan, perolehan kerajaan, promosi barangan tempatan adalah bertentangan dengan syarat syarat yang terkandung di dalam perjanjian TPPA.