Sebuah bot tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikhuatiri hilang semasa cuaca buruk di perairan Pulau Mengalum, Sabah sudah berjaya dikesan kedudukannya.
“Bot CB204: (Kapal pencari) KD Ganas terima panggilan distress daripada bot jam1500. Bot hadapi masalah enjin dan steering gear.
“Bot berada 30nm SE Stn Uniform,” tulis Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar di Twitter sebentar tadi.
Bernama awal pagi tadi melaporkan bot tempur jenis CB90 itu terputus hubungan dengan kapal pengiring KD Paus semasa dalam perjalanan ke Stesen LIMA TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah.
Dalam kenyataannya, Aziz dilapor berkata, bot itu belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada pukul 5 pagi Ahad sebelum terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring pada pukul 11.15 pagi.
Bot tempur itu ditugaskan untuk beroperasi di stesen berkenaan.
Operasi mencari dijalankan oleh aset-aset TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Tujuh orang krew yang diketuai Leftenan Azri Bakar berada di atas bot tempur itu.