Pages

Wednesday, September 24, 2014

Tangkap saya? Teruskan, kata Mahathir

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sedia ditahan oleh pihak polis ekoran laporan terhadapnya yang dibuat oleh seorang anggota parlimen DAP hari ini.

“Saya cuma rakyat biasa sekarang, jika saya sepatutnya ditahan mengikut undang-undang, teruskan,” katanya ketika ditanya kemungkinan polis akan menyiasatnya.

Beliau juga berkata, sebagai ahli politik, beliau tidak menjangkakan layanan baik orang ramai terhadapnya pada setiap masa.

“Saya boleh petik kenyataan lebih ekstrem oleh sesiapa pun, tetapi saya tidak mahu lakukannya, sebagai ahli politik saya tidak harap dilayan baik setiap masa,” katanya.

Beliau diminta mengulas berhubung laporan Lim Lip Eng (Segambut) berhubung kenyataan sebelum ini dan gesaan supaya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi melayan sama rata laporan polis yang dibuat.

Berikutan ikrar Zahid bahawa laporan polis mengenai hasutan akan disiasat dalam tempoh 24 jam, Lip Eng hari ini membuat laporan terhadap Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Lim membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul pada tengah hari berkaitan dakwaan Mahathir terhadap pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang semasa kempen pilihan raya umum lepas.

Lip Eng juga mendakwa Najib mengucapkan kenyataan yang berunsur hasutan semasa Perhimpunan Agung Umno 2010.

Desakan supaya tokoh BN itu disiasat turut dibuat Kit Siang hari ini yang tidak puas hati terhadap kenyataannya Mahathir ketika beliau bertanding di Gelang Patah dalam pilihan raya umum lalu.

Kit Siang mendakwa Mahthir berkata, beliau bertanding kerusi itu keana mahu orang Cina di Gelang Patah dan Johor “menolak bekerjasama dan berkongsi dengan orang Melayu” selain “membenci orang Melayu”.

Cerita detik hukuman ke tali gantung.

Kita selalu mendengar tentang hukuman gantung sampai mati di corong-corong radio dan di kaca televisyen.

Hukuman ini dijatuhkan kepada pesalah-pesalah yang telah m elakukan jenayah berat seperti mengedar dadah, membunuh dan sebagainya.

Bayangkan jika kita sendiri yang menerima hukuman tersebut, pasti kecut perut dan kering darah merasai ketakutan membayangkan leher kita bakal dijerut dan dibiarkan tergantung sampai mati. Harap-harap dijauhkan, amin…

Semoga artikel di bawah ini akan menyedarkan dan menginsafkan kita tentang akibat jika kita terlibat dalam jenayah besar dan juga kecil, kerana dari yang kecil akan membawa kepada yang lebih besar.

Tali gantung yang diimport diperbuat dari jenis jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung.

Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga RM5,000. Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekal akan diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama 72 jam.

Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia diklasifikasikan sebagai senjata dan ianya disimpan di dalam peti besi.

Setiap tali gantung yang diterima ada perkiraannya. Ada cara-cara yang kita kena ikut. Tidak boleh ambil dan terus pasang. Ada empat jenis tali dan tali tersebut dipilih mengikut berat banduan.

Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkuk banduan.

APABILA RAYUAN DITOLAK

Di Penjara Kajang, banduan yang dijatuhi hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan.

Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.

Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman dimana di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

Waktu untuk laksanakan hukuman adalah satu jam . Untuk banduan beragama Islam biasanya hukuman gantung akan dijalankan pada hari Jumaat, selepas solat Subuh. Bagi yang bukan Islam pula, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza.

Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.

Biasanya banduan akhir ini akan tahu dia akan digantung bila mana dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat.

Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini, kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk ‘perjumpaan terakhir.’

Lazimnya suasana dan pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir ini.

Banduan juga diberi pilihan untuk ‘hidangan terakhir’ bernilai RM7.50.

HARI PENGGANTUNGAN

Kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman gantung dangan rela setelah menunggu begitu lama untuk hukuman dilaksanakan.

Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama, menunggu dengan tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat terakhir.

Menurut seorang petugas penjara yang bernama Samuel, ‘Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak tahan lagi menunggu,’ katanya.

Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir.

‘Jangan ikut tabiat buruk ayah’. Itu antara kata-kata terakhir seorang banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat.

Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari hukuman.

‘Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja T dan seluar sembahyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai kasut berharga RM300. Mati penuh gaya . Banduan itu kata dengan jenaka,’ cerita Samuel.

Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan.

BILA PINTU PERANGKAP RENGGANG

Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan secara automatik renggang sepenuhnya bila ‘gear’ ditarik.

Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18 meter.

Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian suasana penjara.

Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik ‘gear’ yang akan antaranya membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat.

Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samuel, kematian berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam dibiar tergantung.

‘Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tak ada masalah.

‘Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh bos-bos saya dulu,’ kata Samuel.

Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel. Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah.

‘Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tak kawal, lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam keluarga jadi penagih, satu keluarga akan terjejas,’ katanya sambil menjelaskan bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah.