Rasionalisasi subsidi elak pembaziran
Kuala Lumpur: Penjimatan wang negara hasil rasionalisasi subsidi akan disalurkan untuk pembangunan negara demi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, penjimatan itu juga dapat menampung pelbagai projek pembangunan infrastruktur tambahan untuk masyarakat terutama di Sabah dan Sarawak.
“Apabila asas hasil bertambah, banyak projek termasuk pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin), di Dewan Rakyat semalam.
Najib berkata, kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan kira-kira RM46 bilion setahun, manakala subsidi dan insentif tahun lalu pula mencecah RM43 bilion.
“Sudah tentu ini satu belanja yang berat sebelah. Memang wajar kerajaan laksanakan rasionalisasi subsidi,” katanya.
Penstrukturan semula
Sambil menegaskan kerajaan komited meneruskan dasar rasionalisasi subsidi, Perdana Menteri berkata, pendirian itu tidak bermakna subsidi dihapuskan terus, sebaliknya hanya membabitkan rombakan dasar subsidi pukal yang banyak pembaziran dan tiris.
“Kita melakukan subsidi bersasar, termasuk BR1M. Kita sedar BR1M perlu ditambahbaik dan kerajaan kini mengkaji langkah bersesuaian,” katanya.
Lonjak ekonomi negara
Ditanya sama ada penstrukturan semula subsidi mampu melonjakkan ekonomi negara, Najib berkata, kerajaan melaksanakan Program Transformasi Fiskal (FTP) bagi mengukuhkan kemampanan kedudukan kewangan, termasuk mengurangkan defisit fiskal dan hutang negara.
Katanya, langkah transformasi fiskal termasuk rasionalisasi subsidi adalah untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan pengagihan sumber kewangan kerajaan.
Perdana Menteri berkata, pembaharuan fiskal penting bagi mengukuhkan kedudukan kewangan dan memastikan sasaran defisit fiskal pada paras 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, tiga peratus pada 2015 dan belanjawan berimbang pada 2020, tercapai.
“Bagaimanapun, dalam rasionalisasi subsidi, kita mesti menentukan sistem jaringan kebajikan terus diperkukuhkan bagi mengelakkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah dibebani,” katanya.